Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Sepasang suami isteri dan rakan mereka dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 3,363 keping wang Amerika Syarikat palsu berjumlah US$257,590 (RM1.01 juta) pada Jun tahun lepas.

Peniaga buah-buahan, Kamal Ishak, 58, dan isterinya, Ramalah Zakaria, 50, surirumah serta rakan mereka, Shahar Abd Karim, 76, pengimport kereta terpakai, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama memiliki 2,296 keping wang palsu bernilai US$100, sebanyak 285 keping US$50, sebanyak 592 keping US$20 dan 190 keping US$10 di sebuah rumah di Sinaran Ukays Residen, Bukit Antarabangsa, Ampang, di sini pada 3.30 pagi, 9 Jun 2017.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan mereka memberi kerjasama baik kepada pihak polis dan hadir ke mahkamah secara sukarela.

Kamal dan Ramalah menetap di Raub, Kuantan manakala Shahar di Nilai, Negeri Sembilan.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *