Anda di sini!
Utama > Sukan > Messi Tak Sabar Rai Gol Ke- 500

Messi Tak Sabar Rai Gol Ke- 500

LIONEL Messi kini tertunggu-tunggu perlawanan seterusnya kerana pemain Barcelona itu ingin memburu gol ke-500 sepanjang kariernya.

Jika dia mampu membolosi gawang Real Madrid dalam perlawanan di Camp Nou, pada Jumaat, pemain kebangsaan Argentina ini akan mencatat sejarah peribadinya.

Messi kini dilihat berkobar-kobar apabila dia baru sahaja menyumbat gol ke-50 bersama pasukan kebangsaan ketika mengalahkan Bolivia di kelayakan Piala Dunia 2018.

Kejayaan Messi menambah gol demi gol bersama kelabnya sekurang-kurangnya dapat meredakan beberapa kritikan pedas penyokongnya setelah dalam tempoh dua tahun ini, dia dilihat gagal menunjukkan prestasi membanggakan setelah gagal membantu pasukannya beraksi di final Piala Dunia dan Copa Amerika.

“Saya gembira dapat meraih enam mata. Ini memang keputusan yang kami harapkan. Semuanya adalah kerana sokongan peminat,” kata Messi, memetik Goal.

Namun saat seterusnya yang ditunggu-tunggu Messi adalah El Clasico. Ia akan menjadi lebih bermakna jika dia mampu melakukannya dengan membolosi gawang musuh ketat kelabnya.

Bukan hanya mahukan tambahan tiga mata, tetapi dia juga mahu membuka lebih luas peluang menjadi juara La Liga musim ini.

“El Clasico akan menjadi perlawanan penting. Saya akan cuba mendapatkan mata ketika melawan Real Madrid nanti. Lebih bagus lagi kalau kami dapat menang,” dipetik sebagai berkata.

Leave a Reply

Top