AMERIKA SYARIKAT, Beberapa organisasi berita Amerika Syarikat (AS) melahirkan kemarahan terhadap Rumah Putih selepas ia menghalang beberapa agensi menghadiri taklimat media, Jumaat lalu.

Menurut New York Times, salah sebuah organisasi berita yang dikecualikan daripada sidang akhbar itu, larangan tersebut adalah keputusan remeh dan penghinaan jelas kepada cita-cita demokrasi.

“Sesetengah presiden mungkin teringin untuk menghukum media tertentu tetapi pembantu mereka akan mencari cara untuk melindungi ketua daripada melakukan tindakan yang merugikan diri sendiri. Dikhuatiri dendam itu akan menjadikan ketua mereka kelihatan kecil,” menurutnya.

Difahamkan, larangan dibuat beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump meneruskan serangan ke atas media negara itu dengan mendakwa beberapa organisasi berita telah menyebarkan berita palsu dan merupakan musuh rakyat.

“Media adalah musuh rakyat kerana mereka tidak mempunyai sumber. Mereka hanya mereka-reka cerita apabila tiada bahan berita,” kata Trump dalam satu ucapan di Persidangan Tindakan Politik Konservatif di Washington, Jumaat lalu. – Press TV