Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mahathir Atau UMNO Yang Keramat?

Mahathir Atau UMNO Yang Keramat?

Analisi Berita – Oleh : Zabidi Saidi

Seperti kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak, PRU yang ke 14 adalah ibu kepada segala PRU. PRU 14 akan menjadi penentu kepada hidup atau matinya BN khasnya atau Umno khususnya.

Apatah lagi Pakatan Harapan (PH) sudah menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM menentang BN yang diketuai PM, Najib Razak. Mampukah Najib mengalahkan Dr Mahathir? Semua orang tahu Najib naik kerana dipilih oleh Mahathir. Dua kali mahathir sebut nama Najib secara terbuka yang mahu Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) melantik Najib sebagai TPM pada tahun 2003. Ketika itu Pak Lah lebih suka melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai timbalannya.

Atas desakan Mahathir, maka Pak Lah lantik Najib sebagai TPM yang baharu. Apabila Najib naik jadi PM pada tahun 2009, rupa-rupanya Mahathir sedar bahawa Najib tidak ikut arahannya. Najib sudah jadi PM. Najib tak perlu ikut cakap Mahathir kerana Najib bukannya mahu jadi PM remote control.

Mahathir keluar dari Umno apabila Pak Lah tak ikut cakapnnya bina jambatan bengkok. Pak Lah batalkan projek Mahathir itu. Mahathir masuk semula Umno apabila Najib jadi PM. Akhirnya Mahathir marah kepada Najib apabila Najib tak ikut cakap Mahathir. Paling Mahathir marah apabila anaknya Datuk Seri Mukhriz kalah bertanding naib presiden Umno pada tahun 2009.

Pembangkang membangkitkan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Mahathir yang kecewa dengan kekalahan Mukhriz terikut ikut membangkitkan isu 1MDB yang dibawa oleh pembangkang. Kemuncaknya Mahathir keluar dari Umno setelah Muhyiddin dipecat dari jawatan TPM. Mahathir dan Muhyiddin menyertai Parti Bersatu untuk menentang Umno secara terbuka.

Minggu lepas PH menamakan Mahathir sebagai calon PM sementara jika PH mengalahkan BN pada PRU14. Kali ini Najib berhadapan dengan Mahathir dalam PRU akan datang. Siapakah yang akan menang?

Mampukah Mahathir yang berusia 93 tahun itu kembali sebagai PM? Pemimpin BN menyifatkan pemilihan Mahathir kerana PH sudah tidak ada pemimpin yang layak menjadi PM. Sedangkan dalam PH ramai pemimpin yang boleh ditonjolkan sebagai PM seperti Datuk Seri Azmin Ali. Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin tidak setuju dengan pemilihan Mahathir. Baginya, Mahathir lebih layak jadi menteri kanan dan bukannya PM. Jika Karpal Singh masih hidup, dia orang pertama yang akan keluar dari DAP membantah pemilihan Mahathir sebagai calon PM.

Jika PH menang dapatkah Mahathir dipercayai untuk rekomen Anwar kepada Yang Dipertuan Agong untuk diberi pengampunan penuh? Sebagai PM baharu, Mahathir akan jadi PM BN selama 22 tahun memerintah negara secara kuku besi seperti yang didakwa oleh DAP selama ini. Ketika itu Mahathir tak dengar cakap timbalannya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau pemimpin parti komponen PH yang lain seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

Mahathir akan wujudkan semula ISA dan akan menangkap semua musuh politiknya dalam BN dan PH. Kemungkinan itu tetap ada kerana dalam politik tidak ada istilah PM sementara. Mahathir akan deal dengan Anwar jika Anwar jadi PM baharu, Anwar perlu lantik Mukhriz sebagai TPM.

Itulah hasrat Mahathir yang sebenar mahu Mukhriz jadi PM. Kalau Mukhriz menang Naib Presiden Umno pada tahun 2013, sudah tentu Mahathir desak Najib lantik Mukhriz sebagai TPM selepas pemecatan Muhyiddin. Tetapi Mukhriz kalah yang menyebabkan Mahathir kecil hati dengan Najib sedangkan Mahathir yang menaikkan Najib sebagai TPM pada tahun 2003.

Mahathir lama jadi PM selama 22 tahun. Sudah tentu ramai ahli Umno yang tak berani masuk Parti Bersatu simpati dengan Mahathir akan undi PH. Ini yang membahayakan BN. Kerana musuh masih ramai dalam selimut. Maka tentangan PH dalam PRU14 amat sengit kerana mereka mahu jatuhkan Najib.

Dapatkah PH mengalahkan BN? Bagi saya, jika ahli Umno setia dengan BN tak kira siapa jadi calon maka BN akan menang besar dalam pertandingan tiga penjuru. Seperti PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016, BN lega kerana tugas BN diambil oleh PAS menyerang calon Amanah. PAS tidak serang BN maka pertandingan tiga penjuru yang lebih menguntungkan BN.

Selagi PAS di luar PH, peluang BN amat cerah untuk kekalkan kerajaan. Sepatutnya BN kalah teruk pada PRU 1990 apabila PBS keluar dari BN untuk menyokong gabungan Semangat 46, DAP dan PAS. Tetapi strategi akhir BN menyelamatkan BN.

Kenapa BN menang pada PRU 1990? Ia kerana Umno adalah parti keramat. Siapa yang keramat Umno atau Mahathir akan mendapat jawapan pada hari pembuangan undi nanti. Jika BN menang, maka Umno memang parti keramat sebaliknya jika PH menang memang Mahathir yang keramat.

Bagi saya, peluang BN tetap menang kerana banyak lagi rahsia Mahathir akan didedahkan menjelang PRU14 nanti.

Leave a Reply

Top