Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ledakan Teknologi & Media Sosial Ubah Landskap Komunikasi

Ledakan Teknologi & Media Sosial Ubah Landskap Komunikasi

Pelaksanaan program Eksplorasi Klik Dengan Bijak tepat pada masanya bagi mewujudkan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan dan penggunaan Internet secara bijak.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) itu membolehkan konsep turun padang secara bersemuka dilakukan untuk mendekati masyarakat dan mendedahkan trend penggunaan media baharu.

“Saya yakin program ini dapat menerapkan amalan penggunaan positif media baharu untuk diaplikasikan oleh masyarakat khususnya ibu bapa dan para pelajar,” katanya ketika merasmikan Program ‘Eksplorasi Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan’ di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian Pemantauan Media Baru SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad Tan Sri Hussin Ismail.

Musa berkata dengan ledakan teknologi dan aplikasi media sosial yang mengubah landskap komunikasi dan penyampaian maklumat, usaha memupuk kesejahteraan siber dengan membina asas kesedaran masyarakat melalui pendidikan secara nyata dapat dilakukan.

Katanya trend menunjukkan bahawa aplikasi media sosial mencetuskan fenomena masyarakat yang cenderung untuk mendapat dan berkongsi maklumat dengan cepat tanpa menghiraukan etika penggunaan dan kesahihan sesuatu maklumat.

Pendidikan adalah langkah pencegahan yang terbaik bagi membina asas kesedaran masyarakat, katanya.

Justeru, beliau berkata inisiatif MCMC yang telah menyediakan pelbagai platform untuk masyarakat termasuk program keselamatan Internet ‘Klik Dengan Bijak’ ini berupaya mendidik orang ramai tentang cara menggunakan Internet dengan berhemah selari prinsip Rukun Negara yang merangkumi semua nilai diperlukan.

Beliau berkata semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu untuk terus memupuk kesejahteraan siber demi membentuk masyarakat sejahtera yang beretika, berakhlak mulia dan inovatif.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan ID Hometutor kepada 30 pelajar dan melancarkan simbolik Program Diploma In Investigation Services Kolej Unikop.

Leave a Reply

Top