Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > LC Kampung Baru Tiada Kaitan Dengan Line Clear Nasi Kandar

LC Kampung Baru Tiada Kaitan Dengan Line Clear Nasi Kandar

Pemilik bersama LC Restoran Kampung Baru di sini, tampil menjelaskan bahawa pihaknya tiada kaitan premis Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang yang ditutup kerana isu kebersihan, Isnin lalu.

Dalam sidang media di restoran tersebut pada Khamis, empat pemiliknya, Salim Madinah, Lokman Madinah, Faizal Akhbar Ali dan Zainul Alam Abdul Hamid yang mengendalikan LC Restoran secara bersama berkata, kedua-dua restoran tersebut dikendalikan pihak pengurusan yang berbeza.

“Kami nak cerita apa yg berlaku di Line Clear Penang tiada kena mengena dengan LC Kampung Baru. Masyarakat salah faham apabila ada yang anggap apa yang berlaku di Pulau Pinang terjadi juga di Kuala Lumpur.

“Jadi kami nak jelaskan perkara sebenar. LC Kampung Baru berbeza dengan kedai Line Clear di Pulau Pinang yang diuruskan oleh pekerja terdahulu dan bukannya dalam kalangan ahli keluarga kami,” katanya.

Empat pemilik itu juga berkata, penjelasan perlu diberikan bagi memberi pencerahan terhadap persepsi orang ramai mengenai isu tersebut, selain menaikkan semula nama LC Restoran.

“Kami kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku kerana ia memberi kesan kepada kedai nasi kandar ini. Kami juga kesal kerana amanah yang diberikan kepada pengusaha di Pulau Pinang tidak dikendalikan secara baik,” katanya.

Sementara itu, Salim turut menafikan bahawa tindakan penutupan kedai nasi kandar tertua di Pulau Pinang itu dilakukan kerana sabotaj.

“Saya tidak percaya ada pihak mahu mensabotaj mereka (Nasi Kandar Line Clear). Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan rutin, mereka lakukan demi kepentingan pelanggan,” katanya.

Sebaliknya Salim berkata, arahan penutupan itu berpunca daripada kegagalan pihak pengurusan  Nasi Kandar Line Clear dalam mengendalikan kedai itu dengan baik.

“Ia bukan sabotaj. Apabila didapati bersalah, kita patut mengakui kesilapan dan cuba untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.

Jelas beliau, sejak beroperasi pada 1949, kedai nasi kandar terkenal itu tidak pernah ditutup atas faktor kebersihan.

“Kedai kami tak pernah ditutup sebelum ini. Setiap tahun pihak majlis perbandaran akan datang lakukan pemeriksaan, tak pernah jumpa tikus.

“Dari dulu lagi kami memang ada prosedur operasi standard (SOP) untuk aspek kebersihan, kualiti pengurusan dan juga resipi,” katanya.

Leave a Reply

Top