Anda di sini!
Utama > Ekonomi > KPJ Sasar Peluang Pelancongan Perubatan

KPJ Sasar Peluang Pelancongan Perubatan

KPJ Healthcare Bhd menyasarkan peluang dalam pelancongan perubatan sejajar dengan peningkatan jumlah ketibaan pelancong perubatan ke negara ini untuk beberapa tahun ini.

Presiden dan Pengarah Urusan Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata industri pelancongan perubatan Malaysia mendapat sokongan yang baik, antaranya daripada kemudahan bertaraf dunia dan doktor yang berwibawa.

“Pada masa ini, sumbangan segmen pelancongan perubatan kepada perolehan kumpulan adalah kecil walaupun peningkatan kukuh dalam jumlah pelancong perubatan ke negara ini,” katanya semasa pembentangan pada Invest Malaysia Kuala Lumpur Ke-12 di sini pada khamis.

Amiruddin berkata berdasarkan statistik Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), negara menerima 882,000 pelancong penjagaan kesihatan pada tahun lepas, naik berbanding 881,000 pada 2013, kebanyakannya dari Indonesia, negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara, serta China dan India.

“Kami menyasarkan pelancong dari Indonesia, China, Timur Tengah, Afrika Timur dan Indochina,” katanya, sambil menambah kumpulan itu telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan prestasi segmen pelancongan perubatannya.

Antara lain, Amiruddin berkata, KPJ Healthcare telah membina kerjasama kukuh dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan serta MHTC.

“Selain itu, kami merancang untuk membina lebih banyak hospital untuk meningkatkan kapasiti kami dalam memenuhi keperluan pelancong perubatan,” katanya.

Pada bulan lepas, KPJ dilaporkan berkata ia akan membelanjakan RM1.29 bilion untuk membina lapan hospital baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang, termasuk dua buah pada akhir tahun.

Leave a Reply

Top