Datuk Seri Najib Razak mahu 13,000 koperasi di negara ini mencapai status berdaya maju dan berkembang secara lestari.

Perdana Menteri berkata, koperasi terbukti mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara, selain turut menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.

“Saya ingin melihat gerakan koperasi kita terus berkembang secara terancang lagi tersusun. Asas kepada kejayaan gerakan koperasi tentunya berpunca daripada kepemimpinan koperasi itu sendiri yang berpegang kepada nilai asas.

“Malah menjadi hasrat kita bila wujudkan sesebuah koperasi dan jadi ahli, kita ingin lihat ia capai status berdaya maju dan berkembang secara lestari.

“Bagi mencapai kedua-dua matlamat itu, kita perlu kepemimpinan dalam koperasi yang mempunyai kesungguhan untuk mendokong pengisian matlamat dan visi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-4 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Pengerusi KOPROJAYA, Muhammad Ammir Haron.

Najib yang juga Penaung KOPROJAYA, berkata sektor koperasi di negara ini cukup besar dengan jumlah keahlian melebihi tujuh juta dan aset sebanyak RM130 bilion.

“Di peringkat global, kajian International Cooperative Alliance pada 2014 mendapati koperasi menggajikan 250 juta pekerja, hampir sembilan peratus daripada keseluruhan populasi pekerja dunia.

“Dalam kelompok negara maju G20 pula yang merangkumi 85 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, koperasi menggajikan pada kadar lebih tinggi, iaitu 12 peratus.

“Justeru, tidak mustahil untuk sektor koperasi negara menjadi pencipta peluang pekerjaan atau majikan ketiga terbesar selepas sektor swasta dan awam,” katanya.

Perdana Menteri turut tertarik dengan cara KOPROJAYA berkembang biarpun dalam keadaan serba kekurangan pada awal penubuhannya, namun mampu mengurus perbelanjaan secara berhemah.

“Saya difahamkan, pada awalnya KOPROJAYA beroperasi dari rumah pengerusinya, namun berjaya berkembang sehingga mampu mencatatkan keuntungan sehingga RM1 juta.

“Ia juga berupaya membayar dividen sebanyak 10 peratus kepada ahli sejak empat tahun lalu. Ini memberi keyakinan kepada orang lain yang melihat KOPROJAYA mempunyai potensi serta mampu bergerak maju,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *