Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Komitmen Untuk Betulkan Anamoli Dalam Perjanjian Malaysia Bagi Sarawak – Najib

Komitmen Untuk Betulkan Anamoli Dalam Perjanjian Malaysia Bagi Sarawak – Najib

LUNDU, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg komited untuk melihat sebarang anamoli dalam Perjanjian Malaysia 1963 bagi Sarawak dibetulkan.

Komitmen itu juga disebabkan kedua-dua mereka merupakan anak kepada pemimpin yang telah menandatangani perjanjian itu, katanya.

“Almarhum ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) menandatanganinya bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu manakala Tun Openg, bapa Abang Johari, menandatanganinya bagi pihak Sarawak.

“Oleh itu, sebagai anak kepada penandatangan, kami mesti menghormati terma dan syarat perjanjian itu,” katanya semasa merasmikan Medan Selera Lundu yang dibina dengan kos RM4.2 juta, di sini, hari ini.

Najib berkata ketua menteri sebelum ini Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, memiliki semangat kental untuk memperjuangkan hak-hak negeri ini semasa beliau mengambil alih pucuk pimpinan.

“Saya faham kenapa beliau lakukan ini kerana saya secara peribadi percaya bahawa sebagai pemimpin kami mesti merasakan denyut nadi akar umbi (rakyat).

“Penduduk Sarawak telah beritahu pada Adenan bahawa ada yang silap dengan Perjanjian Malaysia 1963 kerana banyak daripada hak negeri telah terhapus mengikut peredaran masa, disebabkan diambil alih oleh Putrajaya, mungkin secara tidak sengaja,” katanya.

Najib mengulangi kesediaan beliau untuk berbincang dan berunding bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Sebagai satu keluarga dalam Barisan Nasional kami bersedia untuk berbincang dan berunding dan bertolak ansur di mana perlu,” katanya

Najib berkata beliau yakin sepenuhnya bahawa rakyat Sarawak mahu kekal dalam persekutuan bagi membolehkan negeri itu untuk terus berkembang maju.

Berhubung Lebuhraya Pan Borneo, perdana menteri berkata Adenan mahukan projek itu bermula dari Telok Melano, paling hujung di barat Sarawak.

“Saya bersetuju dengan permintaan beliau, tanpa mengetahui ini akan melibatkan kos tinggi kerana perlu dibina enam jambatan dan laluan (jalan) sepanjang 32.7-km.

‘Namun, saya bersetuju dan gembira dengan cadangan beliau itu walaupun kerajaan perlu menanggung kos RM580 juta kerana kata Adenan, kawasan itu adalah sebahagian Sarawak dan Sarawak ialah sebahagian Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Top