Anda di sini!
Utama > Hiburan > Khatijah Ibrahim Dan Ramli Sarip Bakal Bergabung Semula

Khatijah Ibrahim Dan Ramli Sarip Bakal Bergabung Semula

Tiga dekad selepas lagu duet, Doa Buat Kekasih ‘meledak’ di corong radio, pasangan penyanyi, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Ramli Sarip akan meraikan ulang tahun lagu cinta itu dalam konsert istimewa.

Khatijah memberitahu, dia sudah lama mengimpikan mahu meraikan ulang tahun lagu istimewa itu dengan Ramli dalam konsert.

“Saya juga sedang mengusahakan lagu duet terbaharu bersama-sama Ramli. Lagu ini dicipta khusus untuk konsert berkenaan yang dijangka diadakan tahun depan.

“Saya juga sudah merakamkan empat single solo untuk dilancarkan dengan lagu duet terbabit. Semua lagu ini akan dimuatkan dalam album baharu yang mengandungi empat single solo dan enam lagu duet bersama Ramli,” katanya yang lebih suka membahasakan dirinya ‘ibu’.

Dalam perkembangan lain, Khatijah yang popular dengan lagu malar segar, Ku Pendam Sebuah Duka, sibuk menguruskan pembukaan sebuah lagi restoran dikenali sebagai Warung Tok Kat di Cheras Sentral, di sini, yang dijangka mula dibuka pada 2 Oktober depan.

Penyanyi itu yang sebelum ini menguruskan restoran Khadijah’s Kitchen memberitahu, premis terbaharunya itu menawarkan sajian Melayu dengan harga sederhana.

“Warung ini untuk pelanggan yang mahukan restoran santai. Ini kerana ramai yang menganggap Khadijah’s Kitchen menyajikan juadah mahal.

“Jadi saya gunakan nama warang sesuai dengan harganya yang sederhana,” katanya

Antara juadah disediakan di Warung Tok Kat ialah laksa Johor, tauhu telur, lontong, roti jala dan nasi lemak. Tidak ketinggalan, juadah Cina seperti yong tau fu dan dim sum.

Selain premis makanan, Khatijah turut membuka Kedai Gunting dan Kerinting Rambut Tok Kat berhadapan dengan Warung Tok Kat.

-BH Online-

Leave a Reply

Top