Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyatakan sokongannya terhadap PAS, sekali gus menolak dakwaan beliau akan menyertai mana-mana parti politik.

Abdul Khalid berkata, beliau bersedia untuk berkempen bagi pihak PAS walaupun tidak akan kembali dalam dunia politik secara langsung.

Pada masa sama, wakil rakyat bebas itu berkata, beliau juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang mahu membawa agenda rakyat Selangor termasuk isu membabitkan industri air negeri itu.

“Saya banyak kali nyatakan bahawa saya terhutang budi kepada PAS apabila saya masuk politik. Budi itu sangat berharga kepada saya.

“Jangan takut saya nak masuk politik mana, tapi saya akan menolong PAS,” katanya pada Majlis Minum Petang Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Abdul Khalid sekali lagi menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ditanya mengenainya pada sidang media selepas itu.

Katanya, memandangkan beliau tidak mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sama ada mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang mahu pun Parlimen Bandar Tun Razak, justeru beliau tidak perlu menyertai mana-mana parti.

“Kalau ada tiga bekas menteri besar nak bersama dengan saya untuk bincang macam mana membangunkan Selangor dengan cara baik, saya sertai dan saya akan jemput rakan PAS untuk menyertai mencari jalan ke arah itu.

“Kita bukan berpolitik hanya untuk berpolitik tetapi kita berpolitik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat, ..(yang penting) apa yang saya cakap, bukan di mana saya berdiri.

“Saya kata, dalam usaha saya, katakan kumpulan UMNO sokong saya dalam isu penyusunan semula industri air untuk ia dipercepatkan, jadi saya sokong,” katanya.

Sementara itu, Sallehen berkata dalam keadaan tertentu, partinya juga bersedia bekerjasama dengan sesiapa yang mahu membersihkan negara daripada elemen rasuah.

“Kita bersama dengan semua yang mahu membanteras rasuah, tetapi kita ada cara sendiri,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *