Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kelantan Penerima Tertinggi Bantuan Banjir

Kelantan Penerima Tertinggi Bantuan Banjir

Kerajaan telah membelanjakan RM238,464,073 bagi membantu mangsa banjir melalui bantuan terus Wang Ihsan Bencana kepada mangsa bagi tempoh lima tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, daripada jumlah tersebut, mangsa bencana di Kelantan menerima bantuan tertinggi dengan jumlah RM89.37 juta.

“Ia kemudiannya diikuti Pahang, RM41.97 juta, dan Terengganu RM31.34 juta.

“Manakala RM28 juta pula telah dibelanjakan untuk membantu mangsa bencana di Sarawak, RM12.49 juta kepada Sabah, RM9.5 juta di Perak, dan RM9.4 juta di Selangor,”katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Dr Makin @Marcus (BN- Putatan), di Dewan Rakyat, semalam.
Lain-lain negeri menerima RM7.4juta di Johor, RM5.2juta (Kedah), RM1.7juta (Melaka), RM921,500 (Negeri Sembilan) RM480,040 (Pulau Pinang), RM217,500 (Perlis), dan RM167,000 (Kuala Lumpur).

Dr Makin telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan jumlah perbelanjaan yang dilakukan kerajaan bagi membantu mangsa banjir untuk tempoh lima tahun mengikut pecahan negeri.

Menurut Shahidan, selain bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan juga telah menyalurkan sejumlah peruntukan untuk proses baik pulih harta kerajaan dan kemudahan awam.

“Akibat banjir besar pada akhir 2014, dan awal 2015, jumlah peruntukan yang disediakan kerajaan untuk proses baik pulih berjumlah RM1,506,712,769 melibatkan 12 kementerian,”katanya.

Beliau berkata, memandangkan banjir yang berlaku berskala kecil pada 2012, 2013, akhir 2015, dan 2016, peruntukan untuk baik pulih harta kerajaan pada tahun tersebut menggunakan peruntukan sedia ada oleh kementerian dan jabatan terlibat.

“Memandangkan monsun timur laut 2016/2017 masih belum berakhir, kementerian dan agensi kerajaan terlibat sedang mengumpul maklumat mengenai anggaran kerosakan sebenar.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan membantu menyelaras segala anggaran kerugian tersebut,”katanya.

Leave a Reply

Top