Anda di sini!
Utama > Hiburan > Jihan Dan Syuk Antara Muka Baru Lawak Ke Der

Jihan Dan Syuk Antara Muka Baru Lawak Ke Der

Pelawak Jihan Muse dan Shuk dipilih sebagai muka baharu yang  bakal menyerikan pementasan Lawak Ker Der 2016 Live Di Istana Budaya pada 5 hingga 8 Mei depan.

Penerbitnya, Datuk Hans Isaac berkata, pemilihan dibuat berdasarkan reputasi kedua-dua pelawak tersebut dan maklum balas orang ramai yang mahu melihat mereka dalam pementasan kali ini.

“Bukan senang untuk mencari pelawak yang betul-betul sesuai dengan konsep Lawak Ker Der, biasanya kami buat kajian dengan bertanya orang ramai pelawak yang mereka minati.

“Selepas itu, saya perlu kaji pula bagaimana dia melawak dan adakah sesuai atau tidak dengan program kami ini. Akhirnya kali ini kita beri peluang kepada Jihan dan Shuk pula,” ujarnya.

Hans berkata demikian pada sidang media pementasan Lawak Ke Der 2016 Live Di Istana Budaya yang diadakan di Bilik Nilam Sari, di sini Rabu.

Hans Isaac (kanan) bersama pelakon yang terlibat dalam Lawak Ker Der 2016 Live Di Istana Budaya.
Pementasan kali ke lima ini turut dibarisi pelawak terkenal seperti Harith Iskander, Afdlin Shauki, Douglas Lim, Nabil Ahmad, Kumpulan Bocey, Sherry Al Hadad dan Rayza Mukmin.

Dalam pada itu, Hans turut menjanjikan persembahan yang berkualiti dan segar daripada pelawak-pelawak berkenaan.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya saya mahukan lawak-lawak yang segar daripada mereka, iaitu tidak pernah dipersembahkan di mana-mana program atau siaran televisyen.

“Perkara ini saya selalu ingatkan kepada pelawak-pelawak yang terlibat daripada dahulu lagi,” ujarnya.

Selain itu, dia juga akan memastikan lawak-lawak yang dipersembahkan nanti tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Katanya, perkara tersebut akan dipantau setiap kali latihan dan persembahan hari pertama itu nanti.

“Saya sudah beri garis panduan apa yang boleh dan tidak boleh disentuh contohnya tentang agama atau kecacatan orang lain.

“Saya akan pantau lawak mereka dan lihat bagaimana persembahan hari pertama nanti, jika ada yang melanggarnya saya akan beri teguran,” ujarnya.

Tiket boleh didapati dengan harga RM48, RM88, RM118, RM168, dan RM188 di www.airasiaredtix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya.

Leave a Reply

Top