Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Isu Ancaman Pengganas Bukan Kenyataan Politik – Zahid

Isu Ancaman Pengganas Bukan Kenyataan Politik – Zahid

Pendedahan kerajaan mengenai ancaman keselamatan di Malaysia bukan satu kenyataan berunsur politik, sebaliknya ia harus diambil serius oleh semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya beliau telah beberapa kali mendedahkan Malaysia tidak terlepas daripada ancaman keselamatan oleh pengganas termasuk adanya perancangan untuk menculik pemimpin negara tetapi ada pihak memandang kenyataan itu sebagai berunsur politik.

“Saya telah beberapa kali memberi kenyataan mengenai bahaya ancaman pengganas dan keselamatan negara, ia bukan kenyataan politik tetapi ia adalah hasil risikan,” katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri persidangan Bali Process di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, insiden letupan bom di Brussels, Belgium seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa keganasan masih dilakukan pengganas di serata dunia.

Wisma Putra dalam kenyataan Selasa lepas berkata kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di Lapangan Terbang Brussels yang telah meragut puluhan nyawa.

Mengenai persidangan Bali Process, Zahid berkata kemajuan yang dicapai pada mesyuarat itu ialah buat pertama kalinya negara anggota bersepakat dan memberi komitmen menerusi Deklarasi Bali.

“Saya amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pada persidangan ini. Komitmen semua negara digambarkan melalui Deklarasi Bali yang pertama kali dikeluarkan walaupun persidangan ini pernah berlangsung selama enam kali,”, katanya.

Salah satu daripada deklarasi itu ialah menggesa negara sumber mengambil tanggungjawab menerima semula rakyat mereka yang tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pelarian.

Beliau berkata Malaysia sering membantu pelarian atas dasar kemanusiaan walaupun terdapat mereka yang menjadi pelarian atas sebab ekonomi tetapi pada masa sama Malaysia juga tidak mahu dibebani kebanjiran pendatang tanpa izin.

Ahmad Zahid berkata kerajaan sangat komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan akan memberi saranan kepada negara terlibat bagi mengatasi masalah berkenaan.

Bali Process ialah satu persidangan peringkat rantau Asia Pasifik mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan dan ia disertai 48 negara termasuk Malaysia.

Leave a Reply

Top