Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ICQS Bukit Kayu Hitam Beroperasi 24 Jam 1 Jan 2019

ICQS Bukit Kayu Hitam Beroperasi 24 Jam 1 Jan 2019

BUKIT KAYU HITAM, Mulai 1 Jan 2019, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini akan beroperasi 24 jam apabila fasa kedua ICQS itu siap sepenuhnya pada 31 Dis tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembukaan pintu sempadan untuk tempoh 24 jam sehari itu nanti adalah atas persetujuan bersama dengan kerajaan Thailand.

“Sebelum itu fasa pertama pembinaan kompleks baharu ini akan siap sepenuhnya pada 1 Sept tahun ini dan akan beroperasi pada 3 Sept, yang membolehkan kompleks ini beroperasi daripada 18 jam sehari kepada 20 jam.

“Manakala fasa kedua berikutnya akan siap sepenuhnya pada 31 Dis 2018 yang membolehkan pintu sempadan dibuka untuk tempoh 24 jam sehari,” katanya ketika melakukan lawatan ke Tapak Projek Pembinaan Secara Bersepadu ICQS di sini pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Zahid berkata beliau telah diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbincang dengan kerajaan Thailand bagi mendapatkan kebenaran bersama bagi membuka laluan di pintu sempadan untuk tempoh 24 jam itu.

“Hasil pertemuan tersebut di Thailand, mereka telah bersetuju untuk membuka pintu sempadan daripada 18 jam kepada 20 jam selewat-lewatnya 3 Sept dan seterusnya kepada 24 jam pada 1 Jan 2019,” katanya.

Sebelum ini pada 13 April lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri melawat ICQS yang pada masa itu terlewat pembinaannya selama 576 hari.

Susulan lawatan itu beliau telah mengarahkan agar ICQS bernilai RM425 juta itu dipercepatkan pembinaannya bagi melaksanakan pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand selama 24 jam sehari.

“Pada 13 April lalu tahap kelewatan berada pada 21 peratus dan hasil kunjungan saya pada hari ini tahap kelewatan telah berkurangan kepada 9.5 peratus. Pembinaan masih berjalan mengikut jadual walaupun berlaku sedikit masalah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan perjalanan pembinaan kompleks baharu itu, Ahmad Zahid berkata beliau hanya akan berpuas hati sekiranya ICQS itu siap 100 peratus.

“Saya akan datang semula ke sini pada 3 Sept bagi melihat sendiri pembinaan kompleks ini disiapkan seperti yang dijanjikan.

“Pada setiap minggu saya akan mendapat laporan mengenai tahap kemajuan pembinaan daripada pihak pemaju, Kementerian Dalam Negeri dan agensi yang terlibat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan laporan yang diterima bukan atas kertas semata-mata tetapi pegawai KDN akan turun ke lokasi bagi memastikan laporan yang diterimanya adalah tepat.

Beliau yakin dengan siap sepenuhnya kompleks berkenaan, ia dapat memberikan keselesaan kepada pengguna yang kini seramai 3.5 juta setahun melalui pintu sempadan itu.

“Ini juga dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas selain akan menyelesaikan masalah kekurangan tempat meletak kenderaan,” katanya.

Leave a Reply

Top