Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Harga Runcit Mingguan Ron95, Ron97 Dan Diesel Turun

Harga Runcit Mingguan Ron95, Ron97 Dan Diesel Turun

Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 turun 17 sen kepada RM2.13 seliter, RON97 turun 19 sen kepada RM2.41 seliter, manakala harga diesel turun sembilan sen kepada RM2.11 seliter berkuatkuasa esok hingga 5 April, kata Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.

Beliau berkata pengumuman penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan diumumkan setiap hari Rabu bermulai hari ini.

“Harga tersebut akan berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi iaitu pada hari Khamis bersamaan 30 Mac 2017. Bagi pengiraan untuk minggu-minggu yang berikut ianya akan menggunakan purata kos produk petroleum yang siap diproses dan kadar mata wang bagi tempoh seminggu,” katanya dalam siaran berita di TV1 malam ini.

Jamil berkata pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal secara mingguan bagi penetapan harga berkenaan dilakukan bagi menggantikan kaedah sebelumnya iaitu secara bulanan, seperti yang diumumkan oleh Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 22 Mac berikutan keputusan jemaah menteri pada 22 Feb lepas.

Beliau berkata kerajaan percaya kaedah baharu itu akan memberi kesan yang lebih baik kepada pengguna kerana tempoh pengiraan purata kos produk petroleum yang siap diproses dan kadar tukaran mata wang asing menjadi semakin pendek iaitu selama tujuh hari.

Justeru, kadar turun naik perubahan harga akan bertindak balas lebih cepat selaras dengan pergerakan harga minyak yang diproses di pasaran global, katanya.

Jamil turut mengingatkan semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak agar mematuhi penetapan harga baharu itu.

“Tindakan tegas akan diambil kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang menjual petrol dan diesel pada harga selain daripada harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan penetapan harga bulanan secara pengapungan terkawal dengan mengguna pakai formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang telah ditetapkan sejak 1983.

Penetapan harga secara pengapungan terkawal bulanan itu mengguna pakai formula APM bermula Disember 2014.

Leave a Reply

Top