Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Guru Kemurungan Cuba Bunuh Diri

Guru Kemurungan Cuba Bunuh Diri

Seorang guru yang didakwa cuba membunuh diri semasa sesi persekolahan sedang berjalan berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan mengesahkan kejadian itu dan berkata polis dan anggota bomba bergegas ke sekolah berkenaan kira-kira pukul 10 pagi Rabu.

Beliau berkata, rakan sekerja kepada guru lelaki yang berusia 30 tahun itu cuba menghalangnya daripada terjun dari balkoni di tingkat empat bangunan di mana letaknya kelas tempat beliau mengajar.

“Salah seorang rakan sekerjanya menghubungi talian kecemasan. Anggota bomba dan polis telah dikerahkan ke tempat kejadian.

“Selepas dipujuk, dia akhirnya beredar dari balkoni itu dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan,” kata Rosly.

Beliau berkata guru itu tidak mengalami kecederaan tetapi telah menerima rawatan kerana kemurungan.

“Semua yang terlibat, termasuk pelajar berada dalam keadaan stabil dan tidak trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Mereka yang mempunyai masalah untuk didengari boleh menghubungi Befrienders di talian 04-281 5161/281 1108 (Pulau Pinang), 05-547 7933/547 7955 (Ipoh) atau 03-7956 8144/7956 8145 (Lembah Klang).

Leave a Reply

Top