Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Gelombang Biru Punyai “ROH”

Gelombang Biru Punyai “ROH”

Oleh : Zabidi Saidi

Membaca buku Ayob Mamat GELOMBANG BIRU (GB) dapat kita hayati sejarah kebangkitan ahli Umno Terengganu untuk merampas kembali negeri itu dari tangan PAS pada PRU 2004.

Buku setebal 429 muka surat itu telah dicetak sebanyak dua kali pada Jun 2017 dan Ogos 2017 membuktikan bahawa rakyat terengganu mahu membaca sejarah penubuhan GB oleh Datuk Seri Idris Jusoh.

Walaupun ketika itu Umno Terengganu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi Idrislah selaku timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri  yang mencetuskan idea GB sebagai satu platform untuk merampas negeri Terengganu dari tangan PAS.

Buku yang mempunyai 20 bab ini bermula dengan kekalahan BN pada PRU 1999. Ayob banyak kali mengatakan bahawa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah punca kekalahan BN di Terengganu kerana menurutnya apabila ramai pengundi luar balik mengundi mereka yang simpati dengan Anwar mempengaruhi keluarga mereka di kampung untuk mengundi PAS.

 (Penulis Bersama Ayob Mamat Pengarang Buku Gelombang Biru )

Maka PAS berjaya membentuk kerajaan baharu walaupun ramai berpendapat bahawa pengundi muak dengan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang masih bertanding lagi dalam PRU1999 walaupun sudah 25 tahun menjadi MB Terengganu.

Ini bermakna PAS menang bukan kerana PAS kuat tetapi kerana orang Umno mengundi PAS akibat marah kepada Wan Mokhtar yang terlalu lama memerintah Terengganu. Apabila Pak Lah menamakan Idris sebagai bakal MB baharu pada PRU 2004 maka orang Umno kembali mengundi BN.

Ayob terlibat secara langsung di zaman kalah ini di bawah biro penerangan Umno negeri yang diketuai oleh Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri. Mereka selalu berhujah dan berbincang dengan idris untuk mengorek kelemahan kerajaan PAS. Kesepakatan idea ini akhirnya melahirkan GB.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan GB pada 17 Ogos 2002 sempena Konvensyen BN Terengganu. Sejak itu GB dilancarkan di setiap daerah dan paling meriah di Kemaman pada 16 Mei 2003 dilancarkan oleh Pak Lah selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dengan perarakan lima ekor gajah sebagai lambang untuk merampas 4 kerusi DUN dan 1 kerusi parlimen yang kalah.

Pada 21 Mac 2004 BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS. Idris yang mengangkat sumpah sebagai MB baharu tidak melantik “pembangkang” yang aktif dalam sidang DUN 1999-2004 iaitu Datuk Abu Bakar Ali sebagai Exco. Hanya Datuk Rosol Wahid yang menang pada 1999 dilantik sebagai Exco.

Idris memang seorang yang bijaksana memerintah negeri dengan slogan “Tiada Halangan Hanya Peluang” yang menggambarkan komitmen kerajaan negeri untuk melakukan pembaharuan. Pelbagai projek mega dilaksanakan oleh idris seperti Taman Tamaddun islam, Lebuhraya Pantai Timur, Stadium baharu dan pembesaran lapangan terbang Sultan Mahmud.

Malah Terengganu terkenal ke seluruh dunia di zaman idris menjadi MB apabila acara sukan tahunan Monsoon Cup diadakan.

Buku ini juga mengisahkan bagaimana Ayob mengenali MB sekarang, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika terlibat dalam jawatankuasa merangka soalan kepada 4 ADUN BN di zaman kalah. Ayob dapati Razif seorang yang banyak idea dan Ayob berkata suatu hari nanti Razif akan jadi seorang pemimpin besar.

Seronok membaca buku ini kerana Ayob terlibat sendiri di zaman GB. Seperti kata Ayob Gelombang Merah di Kelantan gagal kerana ia tiada roh sebaliknya GB ada roh kerana ahli Umno perit ditekan oleh kerajaan PAS sehingga mereka tergamak menghalau budak tadika dari balai raya.

Kezaliman kerajaan PAS selama sepenggal menyebabkan ahli Umno yang mengundi PAS pada PRU 1999 kembali mengundi BN pada PRU 2004. Seperti kata Ayob Gelombang Biru kedua wajar dilancarkan semula untuk merampas 15 kerusi BN yang kalah pada PRU 2013 kerana GB terbukti sudah berjaya menyatukan semua pemimpin duduk semeja.

Buku ini wajar dibaca oleh semua ahli Umno terutamanya di negeri BN kalah seperti Kelantan dan Selangor. Syabas Ayob.

Leave a Reply

Top