Anda di sini!
Utama > Ekonomi > FELDA Wakili Kepentingan Kerajaan Malaysia Dalam Pengambilalihan EHP

FELDA Wakili Kepentingan Kerajaan Malaysia Dalam Pengambilalihan EHP

BANGI, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) adalah perantara untuk kerajaan Malysia dalam pengambilalihan syarikat kelapa sawit Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, FELDA dipilih disebabkan kepakarannya dalam menguruskan ladang kelapa sawit.

“Kami mewakili kerajaan Malaysia dalam dua peringkat pengurusan dan Lembaga Pengarah EHP,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran cawangan ke-14 Felda D’Saji di sini, hari ini.

Menurutnya, FELDA diperuntukkan dua kerusi dalam Lembaga Pengarah, di mana satu telah dilantik manakala satu jawatan di peringkat pengurusan telah diisi.

“Kami mempunyai seorang pegawai yang ditempatkan di Jakarta secara tetap. Beliau adalah bekas kakitangan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan ditugaskan dengan RSPO (Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari) dan hubungan pelabur bagi pihak EHP.

“Beliau telah berada di sana kira-kira sebulan, mewakili pelaburan kerajaan Malaysia,” katanya.

Shahrir berkata, FELDA juga sedang mengkaji kemungkinan, secara langsung atau melalui FGV, untuk terlibat dalam perniagaan hiliran di Indonesia melalui EHP.

“Di bawah perjanjian pembelian saham EHP, antara lain, kami diberi peluang untuk terbabit dalam sektor hiliran di Indonesia, dalam Kumpulan EHP,” katanya.

FELDA, melalui Felda Investment Corporation telah memuktamadkan pembelian 37 peratus kepentingan dalam EHP daripada Rajawali Group dalam urus niaga bernilai RM2.26 bilion.

Leave a Reply

Top