Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ejen Hartanah Didakwa Tipu Pesara RM108,480.

Ejen Hartanah Didakwa Tipu Pesara RM108,480.

Seorang ejen hartanah sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menipu seorang pesara membabitkan jumlah RM108,480.

Kuan Chee Hong, 58, didakwa menipu Ong Ba, 72, serta empat anaknya untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM1.2 juta daripada Standard Chartered Bank sehingga mendorong Ong menyerahkan RM100,000 sebagai bayaran untuk proses pinjaman peribadi yang tidak wujud di Taman City Jalan Kuching di sini antara 5 Jan hingga 11 Jan 2016.

Kuan juga didakwa menipu Ong untuk mempercayai bahawa tertuduh sebagai Pengarah Syarikat Lyqon Bigwall Holdings Sdn Bhd yang boleh memberikan kerja-kerja di Flat PRS di Jalan Kuching di sini sehingga mendorong Ong memasukkan RM8,480 secara berperingkat ke dalam akaun milik tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Batu Cantonment, Bangunan Lim, Batu 4 1/2 Jalan Ipoh di sini antara 3.33 petang hingga 7.21 malam, 4 Feb hingga 16 Mac 2016.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana penjamin tidak hadir dan menetapkan 26 Mei untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Leave a Reply

Top