Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi mempunyai hak untuk mencampuri urusan UMNO kerana beliau telah keluar parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata biarlah UMNO menyelesaikan apa juga masalah dalam parti dengan cara UMNO sendiri.

“Apa hak beliau untuk menasihati anggota UMNO. Status Dr Mahathir bukan lagi seorang anggota parti selepas mengumumkan keluar UMNO Februari lepas, walaupun beliau pernah menjadi presiden parti selama 22 tahun.

“Beliau juga jelas bersekongkol dengan pemimpin DAP terutama (penasihatnya) Lim Kit Siang, kita tak boleh terima. UMNO sampai bila-bila pun tak boleh terima DAP ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan Empat Peringkat UMNO Bahagian Kota Baharu di sini, Jumaat malam. Mesyuarat yang disertai kira-kira 800 perwakilan itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Mac lepas Dr Mahathir menerusi laman blognya menghantar surat terbuka kepada ketua-ketua cawangan UMNO di seluruh negara antara lain meminta menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan perdana menteri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *