Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dendam Punca Bakar

Dendam Punca Bakar

Balas dendam menjadi motif utama suspek yang membakar pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dekat Jalan Keramat Ujung, Kampung Dato Keramat, di sini, pada awal pagi Khamis lalu hingga mengorbankan 23 nyawa.

Perkara itu terbongkar selepas polis menahan tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun yang mendalangi perbuatan itu kurang 48 jam selepas kejadian.

Semua mereka yang tinggal di kawasan Keramat ditahan antara jam 6 petang semalam hingga jam 2.30 pagi tadi hasil penelitian kamera litar tertutup (CCTV) di premis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersebelahan pusat tahfiz itu dan kawasan sekitar.

Difahamkan, polis melakukan tangkapan pertama membabitkan dua suspek di sekitar Keramat sebelum menahan lima lagi suspek di sebuah rumah di situ.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata siasatan awal mendapati, ejekan menjadi punca suspek membalas dendam dengan membakar premis itu dipercayai menggunakan petrol dan dua tong gas.

Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek pihaknya menganggap kes berkenaan selesai dan tiada lagi tangkapan susulan.

Pihaknya turut mengesahkan seorang daripada suspek adalah individu yang dirakam dalam CCTV seperti tersebar baru-baru ini.

“Motif utama suspek adalah untuk membakar pusat tahfiz berkenaan,” katanya.

Amar Singh berkata, pihaknya terpaksa mempercepatkan sidang media yang sepatutnya diadakan pagi esok berikutan penyebaran maklumat dan gambar berhubung kes itu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya berhenti daripada menyebar fakta kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses perundangan di mahkamah.

“Mereka yang didapati menyebar maklumat itu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 203, Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply

Top