Anda di sini!
Utama > Sukan > Debat Tidak Akan Merubah FAM

Debat Tidak Akan Merubah FAM

KETEREH, Sebarang debat berkaitan bola sepak tidak akan memberi kesan kepada sukan itu jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal mengambil tindakan susulan hasil cadangan yang dikemukakan nanti.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata FAM mempunyai kuasa menentukan corak pembangunan bola sepak negara kerana ia mempunyai hak mengikut statut FIFA.

“Kita bincanglah apa sekalipun, kuasa bola sepak dalam negara ini hanya terletak pada satu badan sahaja, dan mengikut statut FIFA ia terletak di bawah FAM.

“Kalau orang lain berdebat tapi FAM tak buat (tetap) tak sampai ke mana juga (bola sepak negara),” katanya kepada pemberita pada majlis penutup Program Mesra Siswa Perdana 2016 Parlimen Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok pada selasa.

Program lima hari yang bermula sejak Jumaat lepas itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan disertai lebih 800 pelajar daripada 18 universiti awam seluruh negara.

Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mencabar beberapa individu penting dalam bola sepak negara untuk berdebat secara langsung di televisyen berkaitan isu kemerosotan sukan itu yang mempunyai ramai peminat di negara ini.

Antara individu yang disenaraikan termasuk Khairy, wakil FAM iaitu jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) B Sathianathan.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata kepimpinan FAM perlu ditukar bagi membolehkan pelan pembangunan bola sepak negara dirancang dengan lebih berkesan.

“Bagi saya (kepimpinan) FAM semua tukarlah, bagi orang lain pula pimpin. Bagi TMJ ke… itu sahaja jalan. Dah lama sangat dah (kepimpinan sedia ada).

“Selagi tiada perubahan rejim yang menyeluruh, bola sepak (negara) tak akan sampai ke mana sebab (pembangunan) bola sepak tak boleh buat dalam masa satu atau dua tahun..ia mesti ada pelan jangka panjang, sederhana dan pendek,” katanya.

Leave a Reply

Top