Anda di sini!
Utama > Sukan > Chong Wei Ke Separuh Akhir

Chong Wei Ke Separuh Akhir

Impian peminat badminton tanah air untuk menyaksikan Datuk Lee Chong Wei dan seteru utama dari China Lin Dan berentap di final All England hampir menjadi kenyataan selepas masing-masing melangkah ke saingan separuh akhir pagi Sabtu.

Jaguh badminton negara, Chong Wei menundukkan Tian Houwei dari China pada aksi suku akhir 21-12, 21-15.

Beliau akan bertemu Chou Tien Chen dari Taiwan pada aksi separuh akhir, awal pagi Ahad.

Sementara itu, Lin Dan yang juga juara bertahan menundukkan pilihan ketiga dari Denmark, Viktor Axelsen, 8-21, 21-14, 21-15.

 Juara lima kali kejohanan itu dijadual bertemu Shi Yuqi di separuh akhir selepas rakan negaranya itu menewaskan pemain Jepun, Kazumasa Sakai, 21-13, 21-4.

Jika Chong Wei dan Lin Dan melepasi aksi separuh akhir, kedua-dua pemain itu akan bertemu sesama sendiri buat kali ke-36 sepanjang karier mereka.

Sepanjang pertemuan mereka, Lin Dan memenangi 24 perlawanan.

Selain Chong Wei, turut mara ke separuh akhir ialah pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Pilihan keenam itu menewaskan pasangan China, Wang Yilyu-Huang Dongping 23-21, 21-14.

Mereka akan bertemu pasangan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Bagaimanapun, kejayaan Chong Wei dan Peng Soon-Liu Ying itu gagal diiringi beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang juga pasangan nombor satu dunia.

Mereka terkandas di suku akhir kepada pasangan China, Li Junhui-Liu Yuchen, 21-19, 17-21, 21-19.

 

Leave a Reply

Top