Oleh : Zabidi Haji Saidi

Agak melucukan bila baca laporan Global Risk Insights  (GRI) yang mengatakan BN bakal kalah dalam PRU 14 kerana faktor Tun Dr Mahathir Mohamad dan skandal 1MDB.

GRI adalah penerbitan antarabangsa yang diasaskan di London School of Economics (LSE). Bagi saya penemuan yang dibuat oleh GRI belum tentu tepat.

Mahathir sekarang tak sama dengan Mahathir dahulu. Mahathir dahulu kuat kerana disokong oleh semua bangsa. Sekarang pembangkang pun berpecah sesama sendiri. GRI ingat ikhlas ke PKR terima Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH)? Takkan pemimpin PKR sudah lupa apa yang Mahathir buat kepada pejuang mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai lebam ditumbuk Tan Sri Rahim Noor. Siapa yang arah Rahim Noor kalau bukan Mahathir?

Oleh itu mereka bersatu menentang BN tetapi sesama sendiri mereka curiga. Anwar sudah hampir jadi PM tetapi Mahathir singkirkannya kerana kononnya Anwar tak bermoral. Mahathir tangkap Anwar di bawah ISA. Takkan Anwar, Lim Kit Siang, Mat Sabu sudah maaafkan Mahathir yang tangkap mereka tanpa bicara?

Mahathir dahulu ada kuasa bolehlah guna segala kuasa untuk menakut-nakutkan musuh politiknya. Sekarang Mahathir tidak ada kuasa. Siapa yang berani ikut Mahathir secara terbuka? yang ikut mereka orang yang sudah tiada jawatan seperti Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Zainuddin Maidin, Kadir Jasin.

Najib dengan segala jentera yang ada akan gunakan seperti mana Mahathir guna. Bagi saya peluang terbaik BN untuk tumbang dalam PRU ketika dalam PRU 1990. PBS keluar dari BN menyokong Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin Parti Semangat 46,PAS dan DAP. Tapi BN mampu menang di saat saat akhir.

Begitu juga ketika Anwar Ibrahim berada di luar memimpin PKR, PAS dan DAP sepatutnya Pakatan Rakyat sudah menang pada PRU 2013 tetapi BN tetap menang walaupun tak dapat majoriti dua pertiga.

Oleh itu faktor Mahathir bukan boleh menumbangkan BN. Apabila Ku Li menentang BN, ucapan Ku Li dalam Umno digunakan untuk menunjukkan beliau tidak konsisten. Begitu juga apabila Anwar menentang BN, ucapan Anwar dalam Umno dimanupulasikan oleh BN untuk menunjukkan dahulu lain sekarang lain Anwar.

Sekarang giliran BN pula menggunakan ucapan Mahathir dalam Umno untuk menunjukkan dia u turn menyokong DAP pula. Jadi apa yang BN buat sekarang dipelajari dari apa yang dibuat Mahathir dahulu.

Skandal 1MDB tidak beri kesan kepada pengundi luar bandar. Lagipun 1MDB sudah buat pelan rasionalisasinya. Selagi PAS tidak bersama PH maka BN ada peluang untuk mengekalkan kerajaan pada PRU akan datang.

GRI kata skandal rasuah akan mengalahkan BN termasuk PKFZ. Macam mana kita mahu percaya laporan GRI kerana skandal PKFZ berlaku di zaman Mahathir dan bukannya zaman Najib. Nampak sangat laporan GRI tidak tepat.

Bagi penulis BN tetap menang dalam PRU akan datang kerana BN ada senjata akhir untuk mengalahkan Mahathir. Sama sama kita tunggu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *