Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Beri Peluang Jabatan Peguam Negara Siasat – TPM

Beri Peluang Jabatan Peguam Negara Siasat – TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak memberi peluang kepada Jabatan Peguam Negara menyiasat kes video yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana video yang viral di internet dan media sosial itu masih disiasat serta belum diketahui kesahihannya.

“Jika dia (Dzulkifli) dalam video itu, saya sudah menyerahkan kes ini kepada Jabatan Peguam Negara untuk memantau dan menjalankan proses mengikut perundangan, jika ada laporan polis dibuat.

“Elok, sekiranya kita berlapang dada, agar perkara demikian tidak terus dijadikan satu tuduhan. Biar Jabatan Peguam Negara menjalankan tanggungjawab dan melakukan sesuatu yang terbaik.

“Semua pihak turut diminta menghentikan perbuatan pembunuhan karakter dan beri Dzulkifli peluang berkhidmat menjalankan tugasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) adakah siasatan akan dilakukan terhadap Dzulkifli susulan penularan video itu, ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mendakwa peralihan jawatan Ketua Polis Negara seperti ada yang ‘tidak kena’, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pelantikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong menerusi nasihat beliau.

Katanya, tidak ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dengan perlantikan itu, sebaliknya amalan biasa yang sering dilakukan kerajaan dalam memilih Ketua Polis Negara.

“Saya bertindak secara profesional untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, bagi memperkenankan pelantikan Fuzi sebagai Ketua Polis Negara,” katanya.

Leave a Reply

Top