Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Apabila Usaha Yang Baik Dipolitikkan

Apabila Usaha Yang Baik Dipolitikkan

Oleh : Shahbuddin Haji Embun 

(Telah Disiarkan Di Berita Harian)

Apabila seseorang itu duduk di kerusi panas, maka setiap tindak tanduk sentiasa mendapat perhatian. Ada kalanya tindakan orang di sekelilingnya juga akan memberi kesan kepada mereka yang duduk di kerusi panas.Begitulah yang dirasai oleh mana-mana pemimpin tidak kira sama ada sebagai ketua kampong, menteri besar, menteri mahupun perdana menteri sekalipun.

Bagi golongan seperti ini, setiap pujian yang diterima akan hilang begitu sahaja jika tersilap langkah dalam membuat tindakan mahupun apabila mengeluarkan kata-kata.

Ini semua boleh berlaku apabila ada pihak yang suka mempolitikkan setiap tindakan yang dibuat. Ada sahaja yang tidak kena dan memandangkan kemajuan teknologi hari ini, maka dalam beberapa saat isu ini boleh ditularkan ke seluruh negara.

Masyarakat akan terus percaya tanpa memeriksa apa yang sebenarnya berlaku. Baru-baru ini dalam perasmian pecah tanah projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), timbul pelbagai suara-suara sumbang yang cuba mempolitikkan majlis tersebut. Kononnya majlis itu menggambarkan negara kita mula dijajah kembali oleh kuasa asing.

Terdapat gambar-gambar yang menunjukkan penggunaan bahasa asing yang menyeluruh semasa upacara perasmian, sedangkan acara tersebut bukannya acara perasmian yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi merupakan satu acara yang berasingan yang mana jurutera dari negara China meraikan kedatangan VIP mereka.

Dan pada majlis yang sebenar iaitu majlis pecah tanah projek ikonik ECRL, terdapatnya bendera Malaysia dan upacara dijalankan dalam bahasa rasmi kita iaitu Bahasa Malaysia , yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Mandarin.Ucapan Najib selaku Perdana Menteri Malaysia adalah dalam bahasa kebangsaan yang kemudiannya diterjemahkan terus menerusi headset yang dipakai oleh delegasi dari negara China.

Apa yang menariknya ialah mereka yang menularkan video atau berita ini kemungkinan besar tidak hadir pun pada majlis itu dan kemudiannya berlagak sebagai wira papan kekunci, kononnya mendedahkan negara kita ini bakal dijajah .

Ini merupakan satu taktik untuk mensabotaj sebuah projek yang bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya masih ingat lagi bagaimana beberapa projek mega yang pernah dikritik oleh pelbagai pihak tetapi akhirnya dibuktikan menjadi sebuah projek yang memberikan pelbagai manfaat kepada kita semua.

Jika dilihat pada projek ECRL ini , mungkin tidak ramai yang sedar bahawa usaha ini adalah untuk memberikan pembangunan yang seimbang antara negeri-negeri di Pantai Barat dan juga di Pantai Timur.

Dari segi ekonomi pula , pastinya projek ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Itulah sebabnya Najib menegaskan bahawa projek ini merupakan pencetus perubahan pembangunan di Malaysia .Ini bukanlah omong omong kosong kerana adalah dijangkakan Pahang, Terengganu dan Kelantan akan memperoleh pertumbuhan ekonomi tambahan 1% hingga 1.5% setiap tahun selepas projek ECRL ini siap sepenuhnya.

Dalam hal ini juga isu pelaburan dengan China turut dipolitikkan. Adakah mereka lupa bahawa Malaysia telah lama menjalin hubungan diplomatik dan perniagaan dengan China. Bahkan negara kita merupakan negara Asean pertama yang menjalin hubungan dua hala dengan China iaitu ketika Allahyarham Tun Abdul Razak membuka langkah pada tahun 1974.

Itu sebabnya tidak perlu isu pelaburan dengan China diperbesar besarkan sedangkan negara kita sentiasa mengalu-alukan pelaburan dari pelbagai negara seperti Jepun, Arab Saudi, negara negera Eropah Eropah mahupun Amerika Syarikat.

Ada juga suara-suara yang menyatakan negara kita tidak akan mendapat sebarang faedah daripada pelaburan ini. Perlu diingatkan bahawa Menteri Pengangkutan ,Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah menjelaskan bahawa negara China telah memberikan komitmen untuk memindahkan teknologi dan membantu negara kita dalam membangunkan sitem rel yang secara langsung akan meningkatkan lagi pembangunan pengangkutan awak di Malaysia..

Janganlah asyik memandang setiap projek itu sebagai sesuatu yang negatif. ECRL merupakan projek yang akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang mampu membuktikan perkhidmatan awam di negara kita adalah bertaraf dunia dan pastinya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di negara kita.

Penulis berasal dari Perlis dan merupakan penulis isu semasa yang menulis dalam semua isu-isu Negara dan sekarang menyandang jawatan Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu Malaysia dan AJK biro Anti Fitnah Kelab Sahabat N87 Malaysia

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia.

Leave a Reply

Top