Oleh : Musli Oli 

Pilihan raya umum 2013 merupakan peluang terbaik parti pembangkang menawan Putrajaya. Pakatan Pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang tokoh politik yang berkarisma. Anwar telah berjaya menggabungkan parti PKR, PAS dan DAP dalam satu gabungan yg dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Dengan status sebagai ketua pembangkang dalam Dewan Rakyat, Anwar dilantik menjadi Ketua Umum Pakatan Rakyat dan memimpin gabungan itu dalam PRU13.
Pada PRU 1999, parti-parti pembangkang yang tidak bersatu telah berjaya mengugat BN dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir walaupun Anwar Ibrahim dalam penjara. Pada pilihan raya itu beberapa tokoh Umno kalah teruk akibat perpecahan undi Melayu yang ketara berikutan gerakan reformasi penyokong-penyokong Anwar. PAS dapat menawan Terengganu dan mempertahan Kelantan. Beberapa kerusi Umno di Selangor dan Perak jatuh kepada pembangkang.

Ramai penganalisis sependapat, keputusan PRU 1999 yang dikenali sebagai ‘tsunami Melayu’ terhadap Tun Mahathir merupakan pendorong utama Mahathir berundur pada tahun 2003.

Pada PRU 2008, Anwar tidak bertanding walau telah bebas daripada penjara. Sungguhpun begitu gabungan parti pembangkang telah berjaya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional dalam Dewan Rakyat. Inilah kali pertama BN hilang majoriti 2/3 sejak penubuhannya pada 1973. Pada PRU tahun 1969, pemerintah pernah hilang majoriti 2/3, tapi pada ketika itu ia dibawah kerajaan Perikatan.

Berikutan persembahan buruk BN pada 2008, dengan kekalahan di Selangor, Penang, Perak, Kedah dan Kelantan, parti pembangkang begitu yakin dapat menumbangkan BN pada PRU 2013. Parti-parti gabungan PAS, DAP dan PKR begitu fokus kepada sasaran untuk menawan Putrajaya. Tiada internal bickering dalam Pakatan. Kempen-kempen begitu rancak disetiap pelusuk negara. Anwar berjaya menarik minat rakyat dengan slogan ‘Ini Kali Lah’ untuk berubah.

Penyokong parti pembangkang mendepani pilihan raya dengan semangat begitu tinggi bahawa Anwar adalah bakal Perdana Menteri Malaysia yang baru sebelum ayam berkokok menjelang pengumuman keputusan SPR. Tiada pemimpin dalam Pakatan Pembangkang membantah kedudukan dan status Anwar Ibrahim sebagai bakal PM yang baru. Lim Kit Siang dan Hadi Awang mengakui kehebatan Anwar menggerak massa menentang pemerintah. Dan beliau paling layak menerajui kerajaan yang baru.

Namun keadaan ini tidak berlaku setelah ketiadaan Anwar. Tiada tokoh yang dapat penghormatan dan pengiktirafan seperti Anwar untuk menerajui kerajaan jika pembangkang menang. Sungguhpun Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, namun beliau tidak pernah dianggap bakal mengetuai kerajaan. Mahathir sudah pasti mendapat tentangan daripada PKR.

Persoalan yang berlegar-legar di kepala aktivis pembangkang sekarang ialah, apakah Tun Mahathir mampu membangkitkan gerakan massa menentang pemerintah seperti yang pernah dilakukan Anwar Ibrahim?

Isu yang menarik untuk dibahaskan. Tidak dapat dinafikan Mahathir adalah seorang tokoh politik yang popular. Tetapi populariti Mahathir terlalu terbatas. Popularitinya hanya menyerlah ketika beliau berada dalam kerajaan dan ketika ditampuk kuasa. Mahathir tidak sepopular Anwar bila diluar kerajaan dan bila tidak berkuasa.

Anwar pernah menggerakkan pelajar-pelajar Universiti dalam satu tunjuk perasaan besar-besaran pada tahun 70an. Anwar pernah mengetuai ABIM dan menjadi icon anak-anak muda. Di luar kerajaan Anwar mampu melakukan reformasi walaupun berada dalam tahanan.

Bila dalam kerajaan, karisma Anwar tidak pudar. Sebaliknya beliau berjaya meniti kuasa sehingga kejawatan kedua tertinggi dalam parti dan kerajaan. Sementara tempuh singkat Mahathir diluar kerajaan selepas tewas di Kota Setar (1969) lebih terbatas kepada sekelompok penyokong radikal dalam Umno seperti Tun Musa Hitam dan Harun Idris. Bukunya Dilema Melayu juga gagal menarik minat kaum-kaum lain selain Melayu, itupun golongan Melayu yang minoriti dalam masyarakat ketika itu.

Mahathir membina populariti dan karisma. Manakala Anwar lahir bersamanya.

Menghadapi PRU 14, Mahathir perlukan Anwar. Mahathir telah menghulur tangan perdamaian. Mahathir perlu aura Anwar untuk menentang Najib. Sebab itu bila dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan yang baru, Mahathir minta isteri Anwar, Wan Azizah turut dilantik sebagai Pengerusi bersama. Apakah Anwar perlu Mahathir jika beliau berada diluar dan mengetuai Pakatan Pembangkang?

Anwar sudah tentu tidak perlukan Mahathir, kerana agenda mereka berbeza. Mahathir cuma mahu menukar Najib sebagai Perdana Menteri dengan Muhyiddin. Dan barangkali selepas itu menggantikan Muhyiddin dengan Mukhriz. Sebelum ini Mahathir telah berjaya menukar Pak Lah dengan Najib walau berada diluar kerajaan. Sebaliknya perjuangan Anwar bukan untuk menukar individu atau menukar pemimpin.

Sehingga saat ini, Mahathir masih tidak dapat sebut siapa bakal PM jika Pakatan Harapan menang. Mahathir sedar, itu diluar kemampuannya. Sedangkan jawatannya sebagai Pengerusi bersama Pakatan Harapan juga atas cadangan dan ehsan Lim Kit Siang dan DAP. Mahathir tahu, jika sebut nama Muhyiddin, pemimpin dan penyokong PKR dan DAP akan menolaknya. Apa bezanya Muhyiddin dalam Umno dan luar Umno?

Inilah dilema yang dihadapi Mahathir dan inilah juga dilema parti pembangkang menjelang PRU akan datang. Mampukah Mahathir? Renung2kan…

 

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi mhonline (Malaysia Habit)

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *