Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Amanah Jangan Menyibuk – Ustaz Jaa

Amanah Jangan Menyibuk – Ustaz Jaa

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dinasihatkan tidak ‘menyibuk’ hal parti lain, terutamanya urusan PAS dalam meminda RUU 355.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, tindakan ‘masuk campur’ urusan atau hal parti lain adalah tidak manis dan tidak sepatutnya dilakukan bekas pemimpin PAS itu.

“Jangan sibuk hal orang (PAS). Jaga parti sendiri dulu. Urusan itu (pindaan RUU 355) adalah hak orang Islam. Sepatutnya beliau kena fikir lebih jauh, apa sumbangan Amanah untuk perkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia. Apa peranan ahli Parlimen mereka,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Salahuddin yang didakwa membayangkan usaha PAS untuk meminda RUU 355 semakin sukar, malah tindakan kerajaan tidak mengambil alih pembentangan usul menjadikan hasrat parti Islam itu hampir mustahil berlaku.

 Azariza berkata, Pemuda PAS Kelantan masih optimis dengan usaha tersebut, malah bersedia mental dan fizikal dalam setiap keputusan yang akan dibuat kepimpinan tertinggi berhubung perkara itu.

Malah Exco Pemuda PAS Pusat itu memberitahu, tindakan parti lain yang cuba melemahkan semangat PAS untuk melaksanakan pindaan tersebut seharusnya dilihat lebih jelas oleh semua pihak.

“Kita tidak sepatutnya berkata begitu, ini usaha PAS. Jangan campur hal kita. Kita pun tidak campur hal mereka. Ini untuk orang Islam sahaja, jangan cuba kelirukan pemikiran rakyat dengan pandangan negatif sehingga boleh menghakis kefahaman mereka terhadap pelaksanaan RUU ini,” katanya.

 

Leave a Reply

Top