Anda di sini!
Utama > Luar Negara > 2 Juta Penduduk Gaza Bergelap

2 Juta Penduduk Gaza Bergelap

Bagi hampir dua juta penduduk Palestin yang tinggal di Genting Gaza, bekalan elektrik dianggap sebagai ‘barangan mewah’.

Sebelum ini, penduduk wilayah yang berada di bawah kepungan Israel itu hanya menerima bekalan elektrik selama empat jam sehari, namun perjanjian terbaru dicapai antara Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Israel telah memburukkan lagi krisis tersebut.

Sebelum ini, loji kuasa Israel membekalkan 125 megawatt atau 30 peratus jumlah bekalan elektrik yang diperlukan di Genting Gaza.

Perjanjian itu bakal mengurangkan sebanyak 40 peratus lagi bekalan kuasa elektrik pada masa ini.

Genting Gaza memerlukan 450 megawatt sehari dan ia hanya menerima kira-kira 150 megawatt.

Pengurangan itu dilihat beberapa pihak sebagai cubaan untuk melumpuhkan kepimpinan Hamas di wilayah Gaza.

April lalu, loji kuasa tunggal Gaza yang membekalkan 60 megawatt terpaksa ditutup selepas ia kehabisan bahan api.

Sebelum penutupannya, PA telah menarik balik pengecualian cukai ke atas minyak diesel, sekali gus menyebabkan harganya meningkat dua kali ganda.

Sejak beberapa tahun lalu, penduduk Palestin di Gaza telah bergelut dengan masalah bekalan kuasa elektrik, namun langkah pengurangan terbaru yang dilaksanakan pada bulan lalu telah memburukkan lagi krisis tersebut.

Situasi yang semakin meruncing itu telah menyebabkan penduduk di wilayah itu terpaksa bergelap untuk menjalani aktiviti harian mereka.

Sementara itu, PBB meramalkan keadaan yang semakin daif di Gaza mungkin akan menyebabkan wilayah itu tidak lagi boleh didiami menjelang 2020. – al-Jazeera

Leave a Reply

Top