Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Wujudkan Agensi Berita ASEAN Untuk Perkukuh Kerjasama – Salleh

Wujudkan Agensi Berita ASEAN Untuk Perkukuh Kerjasama – Salleh

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencadangkan penubuhan sebuah agensi berita serantau atau Agensi Berita ASEAN dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang sejajar dengan semangat Komuniti ASEAN.

Beliau berkata menerusi rangkaian agensi berita negara anggota, Agensi Berita ASEAN yang dicadangkan itu boleh menyumbangkan liputan berita menyeluruh dari kesemua 10 negara anggota perkumpulan serantau itu.

“Kebanyakan daripada negara anggota perkumpulan ini telahpun mempunyai agensi berita nasional mereka sendiri. Sebagai contoh, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang wujud sejak 48 tahun lepas.

“Untuk terus mara dan berikutan Komuniti ASEAN yang sudahpun menjadi kenyataan, Agensi Berita ASEAN yang saya cadangkan di sini, biar lambat namun pasti, boleh menjalankan peranan yang signifikan dalam memperkukuhkan kerjasama ASEAN dalam pelbagai bidang,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Editor ASEAN, di sini hari ini.

Dalam hubungan ini, Salleh mahu peserta Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung dua hari untuk memulakan perbincangan awal berkaitan cadangan itu.

Beliau berkata Sekretariat ASEAN boleh menentukan negara yang akan menjadi tuan rumah agensi berkenaan sebaik sahaja kesepakatan dalam kalangan negara anggota diperoleh selepas ini.

“…dan sudah tentulah perkara seperti kaedah pengendalian dan pembiayaannya. Pada pandangan saya, ia malah boleh dipercepatkan dengan cara setiap agensi berita meminjamkan editor dan wartawan kanan mereka kepada agensi berita yang dicadangkan ini, yang pada dasarnya boleh berperanan sebagai sebuah pusat penghantaran bagi laporan berita yang dikeluarkan oleh agensi-agensi terbabit.

“Tugas untuk memperincikan butirannya (Agensi Berita ASEAN) akan menjadi cabaran kepada agensi yang mengambil bahagian namun saya yakin ia boleh dilakukan,” katanya.

Selanjutnya, Salleh berkata hampir setiap 1,500 pertubuhan media dalam negara anggota ASEAN sering berdepan isu rentas sempadan yang mempunyai kaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara, dan isu terbabit perlu dilaporkan menerusi cara yang mesra dan telus, supaya ia tidak terus merumitkan lagi konflik di peringkat serantau dan global.

Justeru, beliau berkata hubungan kukuh antara pertubuhan media perlu dipupuk untuk mengekalkan keamanan serta keharmonian serantau, dan agensi berita ASEAN akan membuka peluang yang lebih baik kepada pengamal media dan wartawan untuk saling berinteraksi serta bekerjasama.

Salleh berkata selaras dengan aspirasi Komuniti ASEAN, yang diwujudkan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada 22 Nov tahun lepas, media di Asia Tenggara berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran lebih 650 juta penduduk terhadap inisiatif ASEAN itu.

“Media boleh mendekati masyarakat dan amat berpengaruh. Laporan kritikal yang hebat adalah penting bagi memastikan masyarakat dimaklumkan sepenuhnya tentang Komuniti ASEAN dan kesan yang dibawanya terhadap kehidupan penduduk dalam ASEAN,” katanya.

Salleh turut menggesa pengamal media ASEAN supaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia ke arah memperkukuhkan Komuniti ASEAN memandangkan mereka perlu mengenali ASEAN dengan lebih dekat, memperdalam pemahaman mereka dan menghargai budaya, tradisi masyarakat serta nilai ASEAN.

Justeru, katanya, Sidang Kemuncak Editor ASEAN yang disertai 200 orang termasuk editor dan wartawan kanan, adalah pentas untuk menghimpunkan pengamal media dari seluruh rantau ini selain memperkukuhkan hubungan bagi mengetengah dan menyebarkan berita berkaitan perubahan ketara yang sedang mengambil tempat di rantau ini.

Turut hadir pada Sidang Kemuncak Editor ASEAN itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Setiausaha Agung Hal Ehwal Komuniti dan Korporat Jabatan ASEAN Dr AKP Mochtan; Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Terdapat empat sesi perbincangan bersama 16 penceramah dari negara ASEAN, antaranya Pengarah Sekretariat ASEAN (Indonesia) Lee Yoong Yoong dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Mikhail Raj Abdullah.

Turut menyertai forum itu ialah Pengarang Kanan Media Baharu Utusan Malaysia Gamal Nasir Mohd Ali; Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia (Antara) Aat Surya Safaat dan Felo Kanan Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Universiti Teknologi Nanyang Singapura Oh Ei Sun.

Leave a Reply

Top