Wanita UMNO mahu pucuk pimpinan parti mempertimbangkan agar lebih ramai wanita dipilih menjadi calon untuk bertanding di peringkat parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Zahari berkata setakat ini kadar penglibatan wanita sebagai calon pilihan raya agak menyedihkan iaitu hanya 10 peratus.

“Calon wanita untuk bertanding kerusi DUN mahupun parlimen masih terlalu rendah berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Sehubungan itu mohon pucuk pimpinan agar meningkatkannya sehingga 30 peratus.

“Perkara ini perlu diambil perhatian serius dan saya berharap wanita terus diberi pengiktirafan dengan mengetengahkan mereka sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerantut di sini Sabtu.

Sementara itu, Rosni meminta Wanita UMNO supaya tidak terpengaruh dengan dakyah jahat yang dibawa pihak tertentu untuk menggugat keutuhan parti dan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tidak perlu hiraukan isu 1MDB yang kembali ditimbulkan, biarlah hal ini diuruskan oleh pucuk pimpinan. Apa yang kita perlu buat ialah sentiasa bersatu padu dalam parti dan bersiap siaga bagi menghadapi PRU ke-14, ” katanya.

Di BATU PAHAT, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kepimpinan tertinggi UMNO diminta mempertimbangkan permintaan Wanita UMNO agar lebih ramai anggotanya dicalonkan untuk bertanding pada PRU14.

Beliau berkata Wanita UMNO layak mendapat pengiktirafan tersebut kerana mereka telah banyak memberi sumbangan kepada parti selain merupakan tulang belakang parti.

“Ia menjadi motivasi kepada jentera Wanita UMNO untuk bekerja lebih kuat sama ada ketika pilihan raya mahupun di luar waktu pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong dekat sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, meminta agar Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) membuka lebih banyak peluang kepada peniaga kecil bumiputera menyertai ekspo perniagaan luar negara yang dianjurkan oleh perbadanan tersebut.

“Jika kita lihat terdapat banyak syarikat besar turut sama menyertai ekspo perniagaan anjuran Matrade. Saya harap pada masa hadapan dengan wujudnya kerjasama dengan agensi berkaitan, fokus diberi kepada usahawan bumiputera yang masih belum mempunyai kemampuan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata usahawan kecil atau sederhana milik bumiputera perlu diberi peluang untuk mendapat pendedahan dengan membawa mereka menyertai ekspo perniagaan ke luar negara.

“Walaupun Matrade telah melakukan usaha tersebut namun ia perlu diperhebatkan lagi,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *