KUALA LUMPUR, Usahawan Bumiputera, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu bergerak ke depan dengan keluar dari kepompong perniagaan tradisional yang hanya menjual produk yang sudah terlalu banyak di pasaran.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usahawan Bumiputera ketika ini banyak tertumpu kepada perniagaan menjual tekstil atau barangan yang dibeli dengan harga murah dari negara serantau dan menjual semula ke pasaran tempatan.

“Kita harus keluar daripada perniagaan sedemikian dan beralih kepada perniagaan yang lebih canggih seperti produk tekstil bernilai tinggi,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Explorasean: Opportunities and the Way Forward di sini hari ini.

Katanya, PKS Bumiputera juga harus memanfaatkan platform e-dagang selain meneroka pasaran serantau untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Mustapa berkata, antara inisiatif kerajaan untuk mengembangkan sektor e-dagang di negara ini adalah melalui pewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital yang bakal membuka peluang kepada 1,500 usahawan e-dagang mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya tujuan utama DFTZ ialah untuk menggalak PKS meneroka pasaran luar, termasuk pasaran China.

“Kita mahu daripada 1,500 syarikat e-dagang ini, ada syarikat Bumiputera yang mewakili setiap negeri,” katanya.

Menurutnya, PKS tempatan, termasuk PKS Bumiputera, perlu meneroka pasaran ASEAN memandangkan ekonomi dunia yang semakin terbuka.

“Di Malaysia ada banyak peluang tetapi dalam konteks ekonomi dunia yang semakin pesat berkembang, kita harus lihat kapada pasaran luar juga, lebih-lebih lagi apabila syarikat asing masuk ke dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, keengganan usahawan Bumiputera menggunakan khidmat perunding dalam menyediakan kertas kerja untuk mendapatkan pembiayaan adalah antara penyebab permohonan mereka ditolak.

Menurutnya, ramai usahawan Bumiputera enggan menggunakan khidmat perunding berikutan persepsi bahawa perkhidmatan berkenaan mengenakan caj yang tinggi.

Beliau berkata, persepsi sedemikian harus dikikis kerana khidmat perunding mampu meningkatkan peluang usahawan Bumiputera memperoleh pembiayaan.

“Perunding pun adalah usahawan, jadi mereka akan melihat dahulu kemampuan pelanggan sebelum mengenakan caj perundingan,” tambahnya.

Forum sehari anjuran PERDASAMA itu bertujuan membantu usahawan, terutama Bumiputera mencari pasaran baharu selain mengekalkan daya saing dalam bidang perusahaan, perdagangan, industri dan pembuatan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *