Sekumpulan ulama dan cendekiawan Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen membantu umat Islam serantau yang dilanda konflik seperti etnik Rohingya di Myanmar.

Penghargaan disampaikan Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand, Dr Ahmad Kamel Muse, kepada Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabangsa (IKIAM), Datuk Zahidi Zainul Abidin di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Kumpulan ulama itu berada di negara ini sempena lawatan kerja untuk mengeratkan hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di sini, selain bertukar pengalaman dengan agensi kerajaan berkaitan.

Ahmad Kamel berkata, mereka menghargai pelbagai usaha Najib dalam membantu menyelesaikan konflik melanda umat Islam seperti di Palestin, Syria, Mesir, Filipina, Thailand dan etnik Rohingya di Myanmar.

Katanya, usaha membantu etnik Rohingya adalah tindakan berani Najib yang dilihat sebagai ikon kepemimpinan Islam di rantau ini.

“Dengan keberanian ini, kami yakin isu pencabulan hak asasi manusia dapat dihentikan. Ini masanya untuk kita bersatu membantu umat Islam lain, ” katanya.

Sementara itu, Zahidi berkata, IKIAM dengan Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand berusaha membentuk pasukan sukarelawan membantu umat Islam yang terperangkap dalam krisis kemanusiaan seperti berlaku terhadap etnik Rohingya.

“Ketika ini, ramai sukarelawan bersama kami dan mereka bersedia membantu umat Islam yang terperangkap dalam kawasan konflik dan peperangan.

“Kami dalam peringkat akhir menyelesaikan beberapa perkara berhubung pembentukan pasukan sukarelawan ini, ” katanya.

Selain isu Rohingya, pasukan sukarelawan berkenaan akan membantu umat Islam dalam pelbagai krisis lain termasuk bencana alam seperti banjir dan gempa bumi di rantau ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *