Share on Facebook

Asas penubuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah berlandaskan susunan yang memberi faedah bersama, dan memberikan bukan Melayu peluang bersuara yang sama, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata hanya UMNO dan BN yang boleh meniup semangat kesamarataan manakala yang lain hanya pandai bercakap tetapi tidak dapat melaksanakan.

“Bagi mencapai apa yang dianggap sebagai satu susunan yang memberi faedah bersama, ia pertamanya memerlukan kesepakatan orang Melayu, dan begitulah kisahnya bagaimana UMNO ditubuhkan yang pada mulanya merupakan satu gabungan pelbagai persatuan, pertubuhan dan pergerakan di seluruh negara,” katanya menerusi catatan di laman blog beliau, hari ini.

Salleh berkata apabila UMNO diwujudkan, pemimpinnya duduk berunding dengan pemimpin Cina, India dan kaum etnik lain untuk membentuk satu gabungan yang dikenali sebagai Perikatan atau Parti Perikatan.

“Gabungan inilah yang berunding dengan Inggeris untuk mendapatkan kemerdekaan, dan sebahagian daripada intipati perjanjian kemerdekaan itu, antara lain, menyentuh isu kewarganegaraan untuk penduduk bukan Melayu yang sekali gus menyaksikan peratusan majoriti Melayu berkurangan ke sekitar 50 peratus daripada penduduk keseluruhan di negara ini.

Salleh berkata ia merupakan satu pengorbanan besar atau pengorbanan yang wajar dilakukan oleh bangsa Melayu bagi menunjukkan kepada kaum bukan Melayu bahawa mereka adalah rakan setara dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

“Tidak seperti di kebanyakan negara-negara Asia yang lain, perjuangan kemerdekaan di Malaysia dilancarkan secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah yang mengambil masa 11 tahun proses perundingan dari tahun 1946 hingga 1957, dan UMNO memastikan supaya rundingan bukan sahaja membabitkan kaum Melayu tetapi juga memasukkan kaum Cina, India dan etnik lain,” katanya.

Salleh berkata untuk UMNO kekal selama 71 tahun dan Perikatan atau sekarang dipanggil Barisan Nasional selama 65 tahun, memperlihatkan terlalu sedikit perkongsian di mana-mana di dunia ini yang boleh meniru pencapaian tersebut.

“Inilah yang menjadikan Malaysia yang kita lihat pada hari ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *