Kesibukan seseorang menguruskan pekerjaan membatasi mereka melakukan kerja-kerja amal.

Namun, bagi pelakon Datin Paduka Umie Aida, kerja bukan penghalang menyertai aktiviti seperti ini.

Diasuh keluarganya sejak kecil lagi mengenai kepentingan aktiviti kemanusiaan membuatkan Umie ringan tulang melakukan kerja amal sekiranya ada masa terluang.

Pelakon yang kini popular dengan drama komedi Mok Cun itu berkata, keluarganya menerangkan betapa pentingnya aktiviti sebegini untuk membantu masyarakat.

“Waktu muda dulu, saya melakukan kerja kebajikan tapi bukanlah berskala besar dan sekadar disertai anak-anak serta adik-beradik. Kita buat mana yang termampu sahaja,” katanya ketika ditemui semasa majlis pengenalan Ikon Muslim Volunteer Malaysia (MVM) di Shah Alam, kelmarin.

Jelasnya, sebelum ini dia turut membantu menguruskan rumah anak yatim yang dimiliki kakaknya, Erma Fatima.

Umie merasakan penyertaan individu itu dalam aktiviti kemanusiaan adalah wajar kerana mampu memupuk sifat cinta sesama insan.

Umie juga meluahkan kerisauannya mengenai situasi masyarakat yang kurang sifat kasih sayang sesama sendiri.

“Maaf kalau saya katakan sifat kemanusiaan di kalangan masyarakat semakin hari semakin pudar. Kita rasa adat dan budaya kita itu tinggi, tapi tanya diri sendiri, setelah melihat keadaan masyarakat sekarang, adakah kasih sayang kita masih utuh?” jelasnya.

Jelasnya, akhlak dan sahsiah diri perlu dibentuk sesama manusia bagi membina sebuah masyarakat yang prihatin dan kasih sesama sendiri.

Justeru, Umie sudah mengambil langkah awal dengan mengajak dua anaknya, Mohd Daniel Firdaus dan Mohd Dzulhelmy menyertai aktiviti amal sejak kecil lagi.

“Saya didik mereka sejak kecil dan ajak bersama melakukan kerja sukarelawan.

“Alhamdulillah, apabila mereka sering kali ikut saya, sekarang ini, mereka akan sertai aktiviti kebajikan yang dianjurkan oleh kawan-kawan mereka atau geng artis,” katanya sambil merendah diri.

Selain aktiviti amal, heroin filem Embun itu sering kali menasihati anaknya supaya sentiasa membuat kebaikan kepada orang di sekeliling mereka.

“When they were kids, I told them. Although you have only one ringgit in your pocket and coincidentally there is someone are begging for donation.

“So, give them 50 cents from you one ringgit and they hear my advice. Alhamdulillah, apabila anak sudah besar, saya nampak mereka mahu membantu orang yang susah,” katanya dengan nada penuh kesyukuran.

Umie mengetahui kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MVM tersebut apabila diperkenalkan oleh Daniel, selepas anaknya itu menunjukkan akaun Instagram rasmi pertubuhan tersebut.

Apabila melihat gambar yang terkandung di Instagram, heroin filem Leftenan Adnan itu sangat kagum dengan aktiviti yang dilakukan oleh sukarelawan MVM.

“Saya kagum melihat sekumpulan anak muda yang mengorbankan masa terluangnya untuk mencari insan yang memerlukan untuk dibantu.

“Walaupun masih muda, iaitu sekitar umur 20-an,  namun wajah mereka jelas terpancar semangat suka membantu. Mereka mempunyai semangat yang cukup hebat,” katanya.

Apabila MVM menjemputnya untuk menyertai aktiviti mereka kira-kira dua tahun lalu, Umie sangat berbesar hati.

Menceritakan pengalamannya menyertai program itu, perasaan seronok menyelubungi diri sepanjang menyertai aktiviti berkenaan.

“Aktiviti yang saya sertai dinamakan sebagai Di Sebalik Pintu. Dalam program ini, kita akan cari orang susah yang keadaan rumahnya agak kritikal seperti bumbung hampir runtuh, cat rumah hampir lusuh dan sebagainya.

“Semasa saya menyertainya, kami ada baiki rumah seorang individu. Tak dinafikan, aktiviti ini sangat memenatkan kerana kami perlu melakukan pelbagai kerja.

“Tapi saya sangat seronok menyertai aktiviti itu dan bukan senang untuk dapat peluang seperti ini,” jelasnya dengan penuh semangat.

Umie berkata, dia ingin menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh MVM selepas ini setelah melihat kesungguhan yang ditonjolkan oleh sukarelawan NGO tersebut.

Dalam pada itu, Umie menjelaskan ramai insan di luar memerlukan bantuan atau menagih simpati daripada mereka yang berkemampuan.

Lantas, beliau berharap lebih ramai individu tampil menjadi sukarelawan dalam usaha membina masyarakat yang prihatin.

“Mempelajari nilai murni ini tidak semestinya di sekolah, bahkan di mana-mana sahaja lebih-lebih lagi dalam aktiviti sebegini.

“Insya-ALLAH, jika kita saling bantu-membantu, kita boleh mewujudkan satu persekitaran yang positif untuk kebaikan bersama,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *