Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, beliau menggesa supaya kerajaan Malaysia serta segenap lapisan masyarakat Muslim dan bukan Muslim supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Jelasnya, ia bagi meringankan beban dan penderitaan rakyat negara terbabit.

“Bantuan boleh disalurkan menerusi pertubuhan sukarela seperti Aman Palestin, Global Peace, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam  Malaysia (Mapim), ISMA dan sebagainya.

“Sikap mendiamkan diri dalam isu sebegini mungkin disalah anggap oleh sesetengah orang dengan beranggapan kita tidak mempunyai kepekaan terhadap nasib malang yang menimpa saudara seagama,” katanya kepada Media.

Wan Salim berkata, mengulas isu ‘peperangan saudara’ di Syria bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurutnya, banyak aspek yang perlu diambil kira untuk memahaminya secara tepat.

“Campur tangan pihak-pihak asing terutama Amerika Syarikat, Rusia, Iran dan Arab Saudi, sama ada secara langsung atau menerusi proksi masing-masing hanya menambahkan kekusutan dan kecelaruan situasi di negara berkenaan.

“Saya berpendapat Majlis Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu segera bersidang untuk mendesak negara kuasa besar mengundurkan tentera masing-masing.

“Cukuplah, hentikan segera campur tangan dalam krisis tersebut,” katanya.

Beliau juga mahu PBB mendesak Presiden Bashar Al-Asad mengadakan pungutan suara bebas dalam kadar segera di bawah pengawasan dan pemantawan suruhanjaya bebas yang dibentuk oleh pihak PBB sendiri.

“Dari situ kesemua pihak yang terlibat mestilah menghormati kehendak rakyat Syria,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *