Share on Facebook

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru penunggang motosikal agar lebih berdisiplin di jalan raya supaya golongan itu tidak terus menjadi penyumbang kepada peratusan tinggi jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

Menyifatkan dirinya juga seorang penunggang motosikal yang aktif sejak 40 tahun lalu, beliau berkata golongan berkenaan harus mengubah persepsi masyarakat yang sering menganggap mereka sebagai penyebab utama berlakunya kemalangan jalan raya.

“Malah saya juga dulu pernah dikatakan dalang utama penyebab kemalangan jalan raya. Saya dilemparkan pandangan yang buruk kerana saya mewakili penunggang motosikal.

“Kali ini saya bersama saudara-saudari membuktikan kepada masyarakat bahawa kita bukan penyumbang kepada peratusan kemalangan jalan raya,” katanya semasa merasmikan program Gegar Anak Seni dan Bikers 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Program anjuran Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad dan Gabungan Kelab Permotoran RXS RXK RXZ Malaysia itu berjaya menghimpunkan kira-kira 10,000 penunggang motosikal, melebihi sasaran 5,000 yang ditetapkan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan amat prihatin terhadap isu kemalangan jalan raya dan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan, antaranya dengan menaik taraf unit trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata unit itu yang dahulunya diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, dinaik taraf menjadi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada tahun lepas.

“Kenaikan taraf unit itu kepada sebuah jabatan memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan motosikal,” katanya.

Sementara itu, beliau turut bercadang menubuhkan sebuah persatuan baharu bagi menggabungkan semua persatuan motosikal di negara ini, yang dinamakan Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GP Moto Malaysia) pada awal tahun depan.

Ahmad Zahid berharap 20,000 penunggang motosikal dari seluruh negara akan berkumpul pada majlis pelancaran GP Moto Malaysia itu, nanti.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *