Pelakon Izara Aishah memberitahu namanya malap kebelakangan ini berikutan dia lebih memberi perhatian untuk mengambil tawaran berlakon filem berbanding drama dan program televisyen.
Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham, 24, berkata, kebanyakkan filem yang dilakonkan mengambil masa agak lama untuk ditayangkan di pawagam membuatkan kerjaya lakonannya kelihatan perlahan.

“Nama saya tenggelam timbul kerana saya banyak berlakon filem berbanding drama atau muncul di program-program televisyen.

“Seperti sedia maklum sebuah filem kadang-kadang ambil masa bertahun-tahun untuk sedia ditayangkan di pawagam, seperti filem Showdown The Movie mengambil masa tiga tahun barulah dapat ditonton,” ujarnya yang kini sedang menjalani penggambaran filem Jrevolusi bersama Zul Ariffin.

Izara ditemui pada majlis pratonton filem Showdown The Movie yang diadakan di Quill City Mall, di sini, malam Rabu.

Selain itu, tambah Izara, dia kurang memuat naik foto atau status di laman sosial bagi memberitahu perkembangan kerjayanya juga menjadi salah satu sebab namanya jarang menjadi bahan gosip.

“Saya jarang update laman sosial bercerita tentang perkara peribadi atau tentang kerjaya, saya hanya muat naik foto bila rasa perlu sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang filem tersebut, Izara berkata, dia kekok untuk menari tarian tradisional seperti watak penari yang dibawanya dalam filem Showdown The Movie itu.

Dia yang mempunyai latar belakang sebagai penari hip-hop dan reggae terpaksa belajar selama dua minggu sebelum memulakan penggambaran.

“Watak saya sebagai penari tradisional yang mana agak susah juga kerana saya bukan penari tarian itu. Tapi Alhamdulilah selepas belajar selama dua minggu saya dapat melakukannya dengan baik.

“Dalam filem ini saya bawa watak ringan sahaja dan tidak banyak cabaran, saya harap satu hari nanti ditawarkan untuk berlakon filem yang benar-benar menampilkan saya sebagai penari,” ujarnya.

Bercakap tentang kerjaya tariannya, Izara berkata, dia terpaksa melupakan kerjaya itu kerana rezekinya lebih ke arah bidang lakonan.

“Tarian ialah cinta pertama saya, tapi saya reda kerana rezeki saya dalam bidang itu tidak banyak dan banyak ke arah bidang lakonan sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang hubungan percintaannya dengan ahli perniagaan Adip Khalid, Izara berkata, dia tidak mahu mengulas apa-apa berkaitan hal peribadi.

Filem Showdown The Movie bakal ditayangkan bermula Khamis (hari ini).

Filem ini merupakan adaptasi daripada rancangan realiti pertandingan tarian,Showdown yang pernah merangkul beberapa anugerah dan jumlah penonton yang tinggi.

Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Reza Hasbi, Iedil Putra, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida, Esma Daniel dan Jehan Shukri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *