SRI AMAN, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membulatkan tekad untuk melakukan segala yang termampu olehnya bagi menangani sebarang masalah berkaitan projek-projek kerajaan buat kemudahan rakyat di Sarawak yang tertangguh.

Beliau berkata akan kembali ke Sarawak, membawa bersama menteri serta pegawai jabatan yang berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan, untuk berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengenai perkara berkenaan nanti.

Katanya setiap masalah akan diperhalusi dalam perbincangan itu nanti dan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau kontraktor yang tidak dapat menyiapkan projek untuk kemudahan rakyat mengikut jadual yang ditetapkan, sehingga menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

“Saya tidak akan berkompromi sama ada kepada kontraktor atau konsultan atau mana-mana pegawai yang menyebabkan kelewatan mana-mana projek, terutama yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Program Penerapan Nilai-nilai Murni anjuran Kementerian Dalam Negeri di tapak padang lama di tengah bandar Sri Aman di sini hari ini.

Sebelum tiba di padang berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas membuat lawatan mengejut ke tapak Hospital Baru Sri Aman yang telah tertangguh pembinaannya lebih tujuh bulan.

Terdahulu sebelum berlepas ke Sri Aman, Ahmad Zahid diberi taklimat mengenai wabak rabies atau penyakit anjing gila di Bahagian Serian oleh Uggah di hangar Hornbill Skyway, dan beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat penyakit berkenaan baru-baru ini.

Dalam ucapannya di sini pagi ini, beliau menyuarakan rasa puas hati dengan cara pengendalian urusan berkaitan penyakit berkenaan sejak dikesan di daerah Serian bulan lepas, yang disusun rapi oleh Uggah selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Prof Dr Sim Kui Hian.

Katanya cara kerajaan negeri dan bantuan kerajaan pusat dalam mengendali dan mengawal penyakit itu amat baik dan berkesan, iaitu di samping memberi suntikan vaksin secara percuma terhadap haiwan dan penduduk yang disyaki dijangkiti di kawasan itu, kebajikan mereka turut diberi perhatian.

Sementara itu merujuk kepada pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Tetap Vietnam Truong Hoa Binh di Putrajaya semalam, Ahmad Zahid berkata beliau turut membangkitkan isu berkaitan pencerobohan nelayan dari negara berkenaan di kawasan perairan Sarawak.

Katanya ini kerana kerajaan amat prihatin dengan kebajikan nelayan tempatan, agar hasil sumber kekayaan negeri tidak diambil oleh orang lain.

Ahmad Zahid turut menyampaikan geran bantuan kepada empat persatuan penduduk setempat bagi tujuan membiayai pembelian peralatan keselamatan, pembersihan dan penyelenggaraan kawasan kejiranan masing-masing.

Ribuan penduduk sekitar Sri Aman yang membanjiri majlis pagi ini turut dihiburkan dengan persembahan oleh artis popular seperti Datuk Nash, Datuk Khatijah Ibrahim dan Malek Ridzuan.

Timbalan perdana menteri dijadual berlepas ke ibu negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada tengah hari, menamatkan lawatan kerja dua hari beliau di Sarawak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *