BAGAN DATUK, Sebanyak lima ekor ikan bersaiz besar dengan berat lebih 15 kilogram dilelong pada harga kurang RM200 sempena program Fiesta NBOS Sayangi Malaysia di sini, hari ini.

Lebih menarik lelongan itu dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di gerai Jualan Ikan Harga Runtuh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) Hilir Perak, pada program berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk melelong ikan kayu, senangin, tenggiri dan merah pada harga antara RM7.50 dan RM70 dengan jualan keseluruhan RM172.50.

Ia jauh lebih murah berbanding harga asal ikan berkenaan antara RM30 hingga RM203 seekor.

Turut serta pada lelongan berkenaan ialah Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Jualan berkenaan turut menawarkan pelbagai spesis ikan lain seperti ikan kembung, mambong, selayang, cencaru serta udang dan sotong pada harga antara 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Sementara itu, seorang pembeli, Zamil Zukie, 43, berjaya membeli seekor ikan senangin bersaiz besar berharga RM203 dan dilelong Ahmad Zahid pada harga RM70.

“Saya tidak pernah terfikir atau membeli ikan sebesar ini sebelum ini tetapi apabila ia dilelong pada harga lebih 50 peratus murah daripada harga asal, saya tidak lepaskan peluang membelinya,” katanya.

Beliau belum terfikir bagaimana mahu memasak ikan berkenaan dan akan membawa balik ke rumah dan berbincang dengan keluarganya terlebih dulu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *