Anggota Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada Khamis menarik balik saman fitnahnya terhadap bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat berhubung penerbitan sebuah artikel yang disiarkan dalam akhbar New Sunday Times, pada 2009.

Peguam Chan Tse Yuen, yang mewakili Ong ketika ditemui pemberita, berkata Tiong selaku plaintif menarik balik saman itu selepas wartawan yang menulis artikel itu, Joseph Sipalan dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini memaklumkan bahawa beliau tidak pernah menemu bual Ong.

Chan berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan sepatutnya memberikan keputusan kes saman itu esok selepas selesai mendengar keterangan tiga orang saksi plaintif termasuk Ong dan defendan.

Katanya, bagaimanapun ketika pengurusan kes itu hari ini di dalam kamar hakim, peguam yang mewakili Tiong, Prem Ramachandran memaklumkan bahawa anak guamnya ingin menarik balik saman berkenaan.

Chan berkata mahkamah kemudian membatalkan saman plaintif tanpa kebebasan untuknya memfailkan saman yang baharu dan turut memerintahkan Tiong membayar kos RM40,000 kepada Ong.

Tiong memfailkan saman itu pada 12 Oktober 2009 dengan menamakan New Straits Times Press (NSTP) Berhad, bekas Ketua Editor kumpulan, Datuk Syed Nadzri Syed Harun, wartawan Joseph Sipalan dan Ong sebagai defendan.

Bagaimanapun, Tiong kemudian menarik balik tuntutannya terhadap NSTP, Syed Nadzri dan Joseph Sipalan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Tiong mendakwa Sipalan, yang ketika itu wartawan NST telah menulis sebuah artikel bertajuk ‘Chua and Tiong in cahoots’ yang disiarkan dalam akhbar New Sunday Times, pada 2009.

Sementara itu, Ong yang hadir di mahkamah hari ini berkata beliau terkejut selepas dimaklumkan pihak plaintif ingin menarik balik saman berkenaan.

“Setelah lapan tahun berdepan urusan tindakan undang-undang ini…ia amat mengejutkan saya, tapi pastinya ia kejutan yang menggembirakan. Saya anggap sebagai hadiah Tahun Baharu Cina,” katanya.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *