Tiga faktor – kelemahan pembangkang walaupun diberi peluang; langkah Malaysia menjalin hubungan baik dengan China; dan politik murni Barisan Nasional (BN), dijangka menyebabkan peningkatan besar sokongan masyarakat Cina kepada parti pemerintah Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketika menzahirkan keyakinannya malam ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata walaupun diberi peluang sebagai wakil rakyat atau sebuah kerajaan di peringkat negeri, pembangkang telah membuktikan tidak mampu menyumbang ke arah kebajikan, pendidikan dan ekonomi masyarakat Cina.

Salleh berkata masyarakat Cina juga umumnya gembira apabila kerajaan Malaysia dan China menjalin hubungan rapat, yang menyaksikan peningkatan dalam hubungan dua hala.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah melaksanakan tugas dengan baik apabila mengukuhkan hubungan ini dan amat dihormati di China. Hubungan dua hala dan ekonomi antara Malaysia dan China kini berada pada kedudukan paling kukuh.

“Ini sudah pasti meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan peluang ekonomi untuk rakyat,” katanya, dan menambah ia juga menunjukkan sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada PRU14.

Salleh berkata demikian ketika menutup sambutan Tahun Baharu Cina daerah Pitas di sini Sabtu malam.

Selain itu, beliau berkata BN mengamalkan politik murni tanpa menyerang mana-mana individu secara peribadi.

“Tidak seperti parti pembangkang, politik mereka adalah separuh benar dan turut memanipulasi untuk memenangi jiwa dan minda rakyat,” katanya.

Sementara itu, Salleh berkata festival seperti sambutan Tahun Baharu Cina sentiasa menjadi platform penting untuk menggalakkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata tradisi unik Malaysia harus dikekalkan kerana ia membolehkan pelbagai kaum untuk berinteraksi dan saling hormat-menghormati.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *