Share on Facebook

SEGAMAT, Malaysia akan bertemu Singapura bagi memperincikan semula cadangan memperkenalkan pusat pemeriksaan imigresen dan kastam tunggal di Tambak Johor dalam tempoh terdekat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu adalah idea asal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-8 di Singapura, bulan lalu.

Namun beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia menghormati pandangan serta kekhuatiran Singapura terhadap cadangan berkenaan seperti dilaporkan media republik itu.

“Cadangan berkenaan adalah antara yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua yang dipengerusikan oleh saya.

“Namun Malaysia memahami kegusaran dan menghormati aspek keselamatan yang dibimbangi Singapura. Saya akan bertemu rakan sejawat dari Singapura dalam tempoh terdekat bagi membincangkan semula isu ini dengan terperinci.

“Mungkin ada tafsiran berbeza di pihak Singapura dan kita akan memberi penjelasan sewajarnya. Malaysia amat serius dalam menangani masalah kesesakan di Tambak Johor sehingga memperuntukkan RM100 juta untuk menaik taraf dan mengatasi masalah di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan projek pembinaan semula jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat, Taman Tenang Jaya, di Tenang Station, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong, dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Semalam, media Singapura melaporkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) republik itu bimbang mengenai aspek keselamatan biarpun cadangan itu mungkin boleh dilaksanakan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *