Keputusan sama ada Bukit Merah di sini dan Timah Tasoh di Perlis diisytihar sebagai kawasan bencana disebabkan cuaca panas serta kering akibat fenomena El Nino sekarang akan diumum esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ketetapan berhubung perkara itu akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Mengenai Bencana yang ditubuhkan hari ini.

“Penubuhan jawatankuasa ini diumum semasa mesyuarat kabinet hari ini bertujuan memantau semua kejadian bencana dalam negara termasuk kemarau.

“Sebarang laporan dan cadangan mengenai situasi di kedua-dua kawasan akan dikemukakan kepada jawatankuasa sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Empangan Tasik Bukit Merah di sini hari ini.

Menurut Shahidan jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menjelas lanjut mengenai keadaan di Bukit Merah, Shahidan berkata antara cadangan yang akan diusulkan semasa mesyuarat tersebut adalah pembinaan empangan kedua di Lembah Beriah di sini selain membina telaga tiub untuk tujuan pertanian.

Cadangan lain yang juga akan diperhalusi termasuk membina terowong dari Sungai Perak ke empangan serta mendalamkan Tasik Bukit Merah, katanya.

Dalam pada itu Shahidan meminta setiap kerajaan negeri mengambil berat tentang kawasan tadahan hujan dengan tidak lagi membenarkan sebarang aktiviti pertanian di sekitarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata pembenihan awan dilakukan di seluruh negara sejak 12 April lalu.

“Pada setiap kali pembenihan awan dilakukan ia mengambil masa antara satu hingga dua jam dan bila dilakukan di seluruh negara ia menelan kos kira-kira RM100,000,” katanya.

Che Gayah berkata El Nino yang melanda sekarang adalah yang paling teruk pernah melanda negara sejak 1997/1998.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *