Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah melapor atau merujuk sebarang kes atau tindakan bakal diambil ke pengetahuan atau mana-mana bahagian dalam Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Samat Kasah, menjelaskan agensi pencegahan rasuah diletakkan bawah JPM itu ketika ini hanya melaporkan sebarang perkembangan kes kepada 42 individu dan pihak bertauliah, yang diberi tanggungjawab seperti diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Katanya, ia termasuk Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dianggotai oleh wakil Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari pelbagai parti politik, Panel Penilaian Operasi (PPO), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) serta Jawatankuasa Aduan.

“Kami tidak pernah melapor sebarang perkembangan siasatan atau tindakan kepada JPM walaupun kami berada di bawah JPM. Tetapi kami melapor kepada 42 pihak ini yang sentiasa memantau tugas dan perkembangan setiap kes yang disiasat dan diambil tindakan oleh agensi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat ulasan pada program Sidang Meja Bulat bertajuk ‘SPRM Mesti Agresif’ anjuran Malaysia Corruption Watch (MCW) di ibu negara malam tadi.

Samat mengakui masih wujud persepsi serong dalam kalangan masyarakat kini yang mempersoalkan tindakan tangkapan yang ramai dibuat agensi itu kebelakangan ini.

Kebiasaan yang dibangkitkan, kata beliau termasuk kegagalan SPRM mendakwa dan mensabitkan kesalahan kepada perasuah serta kurangnya kepakaran agensi itu terutama dalam aspek penyiasatan dan pendakwaan.

“Di negara kita orang mempersoalkan kewibawaan SPRM, tetapi pada masa sama, di luar negara kita sering diundang untuk memberikan pandangan kita.

“Ada pegawai yang kita hantar ke Uzbekistan, Bhutan dan China, malah kita juga mengambil pakar-pakar dari universiti untuk bersama dengan agensi kita,” katanya.

Sebagai bukti kejayaan SPRM, beliau berkata, banyak kes rasuah membabitkan sindiket perjudian, rumah urut dan penyeludupan diperoleh hasil perisikan sendiri SPRM dan bukan bergantung sepenuhnya kepada aduan diterima.

Pada majlis sama juga, beliau turut menerima 10 resolusi khas, diperoleh hasil daripada rundingan meja bulat yang dihadiri kira-kira 20 wakil daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang mewakili belia dan masyarakat umum.

Antara kandungan resolusi itu termasuk mahu SPRM memberi fokus kepada perolehan kerajaan dan swasta; pendidikan anti rasuah, integriti dan etika di peringkat sekolah rendah, menengah serta universiti; keberkesanan kuasa pendakwaan; agresif kepada pemberi rasuah bersindiket serta SPRM perlu lebih proaktif dan meluaskan skop siasatan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *