Unik dan istimewa. Pelbagai mini replika menarik seperti kereta kebal, kapal terbang, kereta perisai tempur, helikopter dan menara Kuala Lumpur boleh ditemui di beberapa lokasi sekitar Kuala Berang sejak beberapa hari lalu.

Kewujudan kesemua mini replika itu adalah sempena Pertandingan Syukurnya Negaraku Merdeka (Senyum) anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang yang berjaya menukar 100 peratus landskap perkarangan rumah penduduk yang menyertai pertandingan tersebut.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata pertandingan itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia pada 16 Sept.

“Penghakiman adalah berdasarkan kreativiti, keunikan, landskap, kekemasan dan kebersihan, galeri, foto dan barang-barang merdeka serta penggunaan Jalur Gemilang di rumah mereka.

“Hasil tinjauan saya tadi, sangat berpuas hati dengan komitmen yang diberi penduduk terlibat kerana mereka sangat berdedikasi dalam menampilkan yang terbaik untuk pertandingan ini, walaupun terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan sendiri yang agak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa rumah penduduk yang menyertai pertandingan itu pada isnin.

Saringan pertama pertandingan di peringkat kampung diuruskan oleh 37 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan memilih tiga rumah yang layak ke pertandingan akhir peringkat DUN.

Seterusnya 111 rumah yang layak dipertandingkan di peringkat akhir dinilai hari ini oleh 27 juri mengikut sembilan zon yang ditetapkan.

Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri berkata pertandingan itu terbuka kepada semua penghuni di 6,014 rumah di DUN Kuala Berang dengan syarat berdaftar sebagai pengundi di DUN tersebut.

“Apa yang kami lihat hasil pertandingan ini berjaya merealisasikan lapan prinsip dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB) antaranya penyatuan keluarga, perpaduan masyarakat dan memperkasa pendidikan melalui sejarah yang dipelajari sepanjang pertandingan ini berlangsung.

“Saya sendiri tidak menyangka penganjuran kali pertama ini mendapat sambutan sebegini hebat daripada masyarakat khususnya penduduk kampung yang menampilkan pelbagai kelainan di rumah mereka dan saya difahamkan ramai pelawat datang melihat sendiri galeri kemerdekaan di rumah mereka semasa cuti persekolahan baru-baru ini,” katanya.

Pejabat DUN Kuala Berang memperuntukkan hampir RM80,000 untuk penganjuran Senyum termasuk empat kereta sebagai hadiah utama (hadiah tempat ketiga hingga johan serta sebuah kereta untuk cabutan bertuah), set sofa, peti ais, mesin basuh, penyaman udara dan televisyen serta pelbagai hadiah sagu hati untuk kesemua 111 penyertaan.

Pemenang akan diumumkan dalam sambutan Malam Gema Sehati Sejiwa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang dijangka berlangsung di Dewan Komuniti Kuala Berang pada 8 Sept ini.

Sementara itu, seorang peserta, Fatihah Nabila Mohd Rahudin, 22, berkata beliau mengambil kesempatan cuti semester tahun ini untuk membantu ayahnya menghiasi rumah di Kampung Getang dengan konsep perjuangan pahlawan negara menentang penjajah untuk pertandingan itu.

“Kami sekeluarga banyak menonton filem patriotik seperti Leftenan Adnan, Bukit Kepong dan Sarjan Hasan untuk menjiwai penghayatannya dalam menghiasi rumah kami ini.

“Ini kali pertama pihak kerajaan menganjurkan pertandingan seumpama ini…sudah tentu kami semua sangat teruja dan mahu memberikan penampilan hiasan terbaik untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini,” kata siswazah Universiti Teknologi Mara di Jengka itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *