Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasar untuk menjadi penyedia perkhidmatan kesihatan berkualiti dan berpatutan kepada rakyat mulai 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate, Noor Hisham Mohd Gouth berkata sasaran itu selaras dengan pembinaan pertama sebuah hospital di Rawang melalui usaha sama dengan peneraju hospital milik bumiputera, Hatimuda Sdn Bhd yang berada di bawah SALAM Group of Hospitals.

Hospital berkenaan dijangka mula dibina pertengahan tahun depan dan fasa pertama akan beroperasi dengan 80 katil pada penghujung 2018 sebelum siap sepenuhnya pada 2020 berkapasiti 200 katil, katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata antara perkhidmatan kesihatan yang dijangka beroperasi dalam fasa pertama adalah Unit Pediatrik, Unit Pesakit Luar dan Dalam, Unit Obstetrik dan Ginekologi, Unit Ortopedik dan Unit Pembedahan Am.

“Kos pembangunan kasar untuk hospital ini adalah RM140 juta dan dijangka boleh dimanfaatkan kira-kira 362,000 penduduk sekitar Rawang.

“Selepas projek itu, kita sasar untuk bina empat buah hospital lagi yang mampu menawarkan kadar (kos perubatan) berpatutan iaitu di Gombak, Shah Alam, Setia Alam dan Cyberjaya dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.

Noor Hisham berkata, kos pembangunan keseluruhan lima buah hospital tersebut dianggarkan berjumlah RM600 juta dan menjangkakan projek berkenaan mampu mencatat unjuran kewangan yang mampan dan berdaya maju.

Terdahulu, beliau menandatangani memorandum persefahaman projek pembinaan hospital di Rawang dengan Hatimuda Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Ir Zainal Bachik dan Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah.

Sementara itu, Azlan berkata pembinaan hospital tersebut mampu menjadikan anak syarikat PKNS itu lebih kompetitif dalam segmen baharu perniagaan berkaitan kesihatan yang diceburinya.

“Kita mahu menjadi peneraju dalam bidang kesihatan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, dan pembangunan hospital ini juga mampu membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada rakyat khususnya penduduk sekitar kawasan itu.

“Jadi, ia akan menjana ekonomi rakyat setempat selain menjadikan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan asing dan tempatan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *