Lebih banyak ruang dan peluang perlu diberikan kepada muka baharu khususnya golongan muda untuk terlibat dalam kepimpinan UMNO agar dapat menyumbang kepada proses ‘penyegaran semula’ parti, kata penganalisis politik.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata langkah itu secara langsung boleh menarik lebih ramai pengundi di kalangan orang muda dan ‘meremajakan parti’.

“UMNO perlu lebih peka terhadap gaya dan corak kepimpinannya agar ia lebih relevan, seiring dengan kehendak dan situasi semasa hari ini. Oleh itu, peluang harus diberikan kepada muka baharu khususnya orang muda untuk membantu meneruskan kesinambungan kejayaan parti,” katanya.

Ahmad Martadha mengulas kenyataan Naib Pengerusi Kanan Veteran UMNO Malaysia Datuk Mohamad Rozali Isohak baru-baru ini bahawa UMNO memerlukan proses ‘penyegaran semula’ bagi memastikan parti yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) terus kukuh dan diyakini seluruh rakyat seperti pada awal penubuhannya.

UMNO, yang diasaskan Allahyarham Datuk Onn Jaafar, meraikan ulang tahun ke-70 pada hari ini, 11 Mei.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata UMNO perlu melakukan proses saringan ketat termasuk mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan individu yang terpilih dalam barisan kepimpinan benar-benar berkelayakan, berdisiplin dan sanggup berjuang demi parti.

Selain itu, tindakan disiplin terhadap mana-mana anggota yang terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau salah laku perlu disegerakan dan dilaksanakan dengan tegas sebagai pengajaran kepada anggota lain.

“Mereka yang terbukti bersalah tidak wajar diberi peluang untuk menjawat sebarang jawatan dalam parti kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota selain memberi persepsi negatif bahawa UMNO ketandusan pemimpin berintegriti dan disegani,” katanya.

Turut berharap agar lebih ramai pemimpin UMNO ‘turun padang’ bagi mendekati dan memahami masalah rakyat, Ahmad Martadha berkata langkah itu akan dapat membantu memudahkan pemimpin di peringkat akar umbi untuk menerangkan dasar parti kepada rakyat.

“Jangan dilupa, rakyat dan masyarakat bawahan lah yang sebenarnya merupakan penyokong kuat UMNO selama ini dan yang menjadikan UMNO terus kukuh memerintah negara seperti hari ini. Dekatilah mereka dan jagalah (kebajikan) mereka seperti yang dilakukan pemimpin UMNO terdahulu,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *