Desakan dalam kalangan anggota dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai presiden membuktikan parti itu ‘seperti retak menunggu belah’.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata perkara itu bukan di luar jangkaan oleh kerana semasa berada di dalam Umno, Muhyiddin diangkat memegang jawatan dalam parti hasil perjuangan anggota parti itu sendiri.

“Saya tak nampak bahawa PPBM ada masa depan, dia tunggu masa untuk mati kerana parti itu baru lahir dah dalam keadaan tenat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Seni Budaya dan Program Kesukarelawan IM4U Puspanita kementerian itu di Dataran Kampung Laneh, Lubuk Merbau dekat sini, Ahad.

Pada Sabtu, akhbar tempatan melaporkan Ketua Pendaftar PPBM Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar membuat desakan itu apabila sebahagian besar daripada 24 bahagian PPBM di Perak mendapati Muhyiddin bertanggungjawab di atas segala kepincangan parti yang berlaku di peringkat kebangsaan dan negeri.

Mengenai  program komuniti seni budaya itu, Nazri berkata program itu membolehkan pegawai dari kementeriannya turun padang berinteraksi dengan masyarakat luar bandar untuk menggalakkan mereka mendekati seni budaya negara.

“Kita galakkan perkembangan seni dengan memberi bantuan kewangan dan peralatan serta latihan kepada kumpulan seni budaya supaya seni itu tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *